TELUK INTAN – Meskipun dalam tempoh sekatan pergerakan penuh bagi mengekang penularan COVID-19, ia bukan alasan bagi pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk berehat daripada menjalani sebarang latihan fizikal bagi mengekalkan tahap kecergasan.
Dikenali dengan julukan ‘Usain Bolt Malaysia’, atlet kelahiran Teluk Intan berusia 17 tahun itu berkata, beliau memperuntukkan masa sekurang-kurangnya satu jam 30 minit setiap hari melakukan aktiviti fizikal berpandukan kepada jadual mingguan yang disusun oleh jurulatih Mohd Amir Izwan Tan Abdullah.
“Kalau dari Isnin hingga Jumaat saya akan buat latihan di sebelah petang manakala Sabtu dan Ahad saya akan lakukan pada waktu pagi.
“Dari sudut latihan, saya akan tumpukan kepada latihan yang melibatkan kekuatan seluruh anggota badan seperti ‘jackknife’, ‘sit up’ dan ‘half squat’. Saya juga akan buat latihan pecutan setiap hari, sekurang-kurangnya dalam jarak 50 meter (m) bagi kekalkan momentum larian,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini.
Muhammad Azeem pernah diiktiraf sebagai atlet terpantas dunia dalam acara 200m bagi peringkat umur 16 tahun ke bawah dengan catatan masa 21.24 saat yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) ke-61 di Johor pada 22 April 2019.
Beliau juga pernah mencuri tumpuan apabila meraih emas 100m Kejohanan Remaja Asia Tenggara di Ilagan, Filipina dengan meleburkan rekod kejohanan menerusi catatan 10.69s pada Mac 2019. Beliau turut meraih emas acara 200m dengan catatan 21.86s.
Muhammad Azeem berkata beliau mengakui agak janggal menjalani latihan secara bersendirian selain turut berdepan kekangan kekurangan peralatan berbanding atlet pecut lain yang mudah mendapatkan kemudahan tersebut melalui pemantauan penuh Majlis Sukan Negara (MSN).
“Susah memang susah (berlatih sendiri) kalau dibandingkan dengan atlet pecut yang lain yang duduk di bawah pengawasan MSN. Meraka ada fasiliti (peralatan latihan). Saya di sini, kalau nak kekalkan momentum prestasi pada tahap terbaik, kena berusaha dengan lebih kuatlah,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran peribadi, katanya, buat masa ini beliau sedang mempersiapkan diri bagi melepasi syarat kelayakan untuk beraksi dalam acara 100m di Sukan SEA Vietnam yang dijadual berlangsung di Hanoi pada 21 Nov hingga 2 Dis depan.
“Sukan SEA sasaran terbesar saya pada tahun ini. Saya akan cuba yang terbaiklah untuk lepasi had kelayakan. Saya juga harap akan ada kejohanan dalam masa terdekat ini untuk saya cuba lepasi had kelayakan yang ditetapkan untuk ke Sukan SEA,” katanya. – MalaysiaGazette