KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah melakukan pengesanan, pengawalan dan pencegahan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) pada ternakan lembu di seluruh negara.
Setakat ini sebanyak 81,252 ekor lembu di 9,108 premis/ladang telah diperiksa dan mendapati 89 ekor (0.1%) menunjukkan gejala jangkitan itu.
JPV berkata, usaha mencegah penularan penyakit LSD telah dilaksanakan dengan mengetatkan kemasukan ternakan lembu import dari luar negara.
LSD disebabkan virus Poxviridae dan boleh tersebar dalam kalangan ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkerit serta boleh dijangkiti melalui rembesan air liur dan hidung lembu yang dijangkiti.
Tanda-tanda klinikal pada ternakan lembu adalah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan tubuh lembu.
LSD dilaporkan menular di beberapa negara Asia termasuk India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, China, Taipei, Vietnam, Myanmar dan terkini di Thailand.
JPV berkata, walaupun penyakit ini telah menyebabkan kematian tetapi memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan lembu dan kerugian kepada penternak lembu akibat penurunan pengeluaran susu pada lembu tenusu, penurunan berat badan, keguguran, kemandulan.
Ia tidak menjangkiti manusia.
Sehubungan itu, JPV menafikan gambar individu yang tular dengan gejala di bawah mata disebabkan LSD.
“Juga ingin memaklumkan berita yang tular berkaitan “Elakkan membeli daging segar yang dijangkiti penyakit lembu di Perak adalah tidak benar’.
Menurutnya, Maqis telah memperkemas kawasalan di pintu masuk negara di sempadan Malaysia dan mengambil tindakan ke atas mana-mana konsainan lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di stesen kuarantin.
JPV turut memohon pemain industri supaya menghubungi pejabat veterinar sekiranya mengesyaki ternakan lembu menunjukkan gejala penyakit LSD.
Pensampelan akan dijalankan untuk tujuan pengesahan penyakit.
Lembu yang terjangkit perlu diasingkan dan dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih JPV atau rumah sembelih swasta yang dilesenkan. – MalaysiaGazette