LONDON – Manchester United, Chelsea dan Arsenal dilaporkan menunjukkan minat untuk mendapatkan tonggak utama pertahanan Sevilla, Jules Kounde.
Pemain pertahanan muda yang kini bernilai £56 juta sedang menjalani latihan bersama pasukan antarabangsa Perancis bagi persediaan Piala Eropah.
Barcelona juga tidak terlepas dalam persaingan untuk mendapatkan pemain berusia 22 tahun itu selepas dia mempamerkan aksi berkualiti pada saingan La Liga musim ini.
Kounde dalam satu temubual ketika bersama dengan pasukan Perancis pada baru-baru ini bagaimanapun mengakui masa depannya masih lagi kabur.
“Semuanya masih belum pasti lagi. Saya belum membuat sebarang keputusan. Apa yang saya ingin capai adalah bermain dalam kelab yang besar dan memenangi piala dalam karier saya,” katanya.
Menurut laporan Mundo Deportivo, Sevilla meletakkan harga £65 hingga £70 juta untuk mana-mana pasukan yang berhasrat mendapatkan pemain tersebut.
United perlu berfikir dua kali kerana sasaran utama mereka pada ketika ini membawa masuk seorang pemain sayap kanan. – MalaysiaGazette