KUALA LUMPUR – Golongan usahawan, profesional dan pekerja sektor swasta dari golongan M40 dan T20 diseru supaya menyumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana sebagai tanda solidariti dalam menangani Covid-19.
Sumbangan itu juga diperlukan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas, kata Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Universiti Sains Islam Malaysia (PRAGMATIS), Mohd Salehudin Sukor.
Menurutnya, pihaknya mendukung penuh keputusan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara agar penjawat awam bersolidariti dengan menyerahkan sebahagian daripada Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sebagai sumbangan kepada Akaun Amanah Bencana.
“PRAGMATIS amat berharap penjawat awam terus aktif memberikan sumbangan idea dan usaha dalam membantu kerajaan menangani cabaran pandemik Covid-19 dan menggembleng komitmen bagi membela rakyat dan membina kemakmuran negara.
“Kini masanya seluruh penjawat awam dan rakyat Malaysia bersatu kukuhkan soladiriti untuk membebaskan Malaysia dari pandemik Covid-19 ini dan mendoakan para perwira frontliner kita selamat dan berjaya dalam melaksanakan tanggungjawab dibidang masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Salehudin berkata, pihaknya berpandangan jumlah sumbangan itu bersesuaian dengan kemampuan penjawat awam dan ia sebagai tanda kebersamaan dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette