KUALA LUMPUR – Lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal berisiko ‘gulung tikar’ sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berterusan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kajian mendapati majoriti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta usahawan informal pelbagai sektor ekonomi kini gusar dengan kelangsungan operasi perniagaan mereka.
Jelas beliau, sebanyak 54 peratus terutama perusahaan mikro memberitahu, mereka hanya mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan sahaja dan senario itu dikhuatiri menyumbang kehilangan pekerjaan kepada lebih tiga juta penduduk di Malaysia.
“Penemuan kaji selidik ini amat membimbangkan dan bagaimanapun, kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik dengan menguatkuasakan PKP penuh atau total lock down berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19.
“Pada masa sama, kerajaan tetap komited dalam menumpukan usaha bagi mengimbangkan di antara kesihatan dan kelangsungan hidup rakyat,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.
Sidang media itu diadakan berhubung Laporan Kaji Selidik Impak Pelaksanaan PKP Terhadap Usahawan di negara ini.
Seramai 3,855 responden terlibat dalam kaji selidik yang dilaksanakan oleh Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
Daripada jumlah tersebut, majoriti 58 peratus adalah perusahaan mikro manakala bakinya adalah perusahaan kecil, dan sederhana, koperasi dan informal.
Wan Junaidi menambah, PMKS yang kini berjumlah lebih 1.15 juta pada tahun 2020 memberi sumbangan signifikan dalam pembangunan sosio-ekonomi negara yang menyumbang kepada hampir separuh daripada guna tenaga di negara ini iaitu sebanyak 7.3 juta orang.
Jelas beliau, perusahaan mikro dan informal yang paling teruk terjejas kerana produk dan perkhidmatan mereka adalah dalam sektor non-essential dan mereka juga tidak mempunyai simpanan dan aliran tunai yang kukuh.
“Walaupun nilai sumbangan ekonomi yang diberikan agak kecil, bilangan usahawan mikro dan informal adalah antara yang terbesar di negara ini.
“Adalah penting untuk memastikan jenis bantuan yang bersesuaian diberi bagi membantu usahawan mikro serta informal dan inisiatif PEMERKASA+ yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini dijangka mampu menyokong daya tahan golongan ini sepanjang tempoh lock down dilaksanakan,” katanya.
Kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan RM340 bilion dalam pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu mengurangkan impak PKP.
Namun, sehingga kini ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya dan kaji selidik juga mendapati 72 peratus usahawan menjangkakan perniagaan akan terus mengalami kerugian. – MalaysiaGazette