Home Nasional Polis Shah Alam keluar dua kompaun, kilang ingkar SOP

Polis Shah Alam keluar dua kompaun, kilang ingkar SOP

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib semasa mengadakan Operasi Khas Pemantauan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ekoran Sekatan Pergerakan Penuh Fasa Pertama ditapak pembinaan disekitar Setia Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 JUN 2021.

SHAH ALAM – Polis berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tapak bina dan kawasan kilang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, setakat ini, hanya dua kompaun dikeluarkan kepada pengusaha kilang kerana gagal mematuhi SOP PKP 3.0.

“Kesalahan pertama tiada surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) malah kilang itu bukan industri utama.

“Bagi kesalahan kedua pula, kilang terbabit mempunyai jumlah pekerja melebihi 60 peratus yang dibenarkan.

“Kedua-dua kesalahan dikenakan kompaun di mana setiap satu berjumlah RM10,000,” katanya ketika ditemui pemberita di Setia Alam hari ini.

Terdahulu beliau bersama sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan CIBD melalukan Operasi Khas Pemantauan SOP PKP 3.0 di tapak projek pembinaan sekitar Setia Alam.

Dalam pada itu, sepanjang Operasi Pemantauan Khas hari ini, tiada sebarang kompaun dikeluarkan sama ada pemaju mahupun pemilik kilang.

“Kita membuat tinjauan secara menyeluruh, di antara lokasi tumpuan kita ialah kawasan kilang, tapak bina dan seluruh pematuhan SOP yang telah dikeluarkan.

“Tinjauan kita hari ini mendapati tidak ada langsung kerja-kerja pembinaan dilakukan. Tiada kompaun dikeluarkan kepada kilang setakat ini, semuanya mematuhi,” katanya.

Pihaknya akan meneruskan pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa bagi memastikan sektor perkilangan dan tapak pembinaan mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MITI.

“Pihak kami akan terus buat operasi secara mengejut di tapak-tapak bina dan juga di kawasan-kawasan kilang yang mana arahan SOP PKP 3.0 tidak membenarkan segala kerja dilaksanakan tanpa kebenaran khas daripada pihak MITI.

“Tinjauan kami mendapati ada pihak pemaju yang belum menerima surat kebenaran daripada Miti dan saya dapati pihak pemaju mematuhi SOP dengan tidak menjalankan kerja-kerja binaan.

“Sekiranya tiada surat kebenaran daripada MITI, tidak ada kerja-kerja yang boleh dilakukan,” katanya.

Ditanya tentang tahap pematuhan SOP sepanjang kawalan dan pemeriksaan kenderaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di sekitar Shah Alam, beliau berkata, ada beberapa kes pelanggaran SOP.

“Ada juga yang melanggar SOP di antaranya kesalahan yang dilakukan lebih kepada melanggar jumlah penumpang dalam kereta.

“Kita benarkan dua orang sahaja, kalau untuk urusan biasa, kalau kecemasan tiga orang, tapi ada empat orang dalam sebuah kereta.

“Bagi kesalahan ini, kita keluarkan kompaun sebanyak RM2,000 ke atas setiap individu dalam kenderaan terbabit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette