SHAH ALAM – Sebanyak 487 kompaun telah dikeluarkan Polis Selangor terhadap individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun hingga semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, daripada jumlah itu, kegagalan memakai pelitup merupakan kesalahan paling tinggi dikesan pihak berkuasa sepanjang operasi pematuhan SOP.
“Dari 1 hingga 3 Jun, sebanyak 487 kompaun telah dikeluarkan, kebanyakan kesalahan adalah tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal dan tidak merekod butiran diri.
“Saya telah arahkan semua Ketua Polis Daerah untuk mempertingkatkan sekatan dan tindakan daripada pasukan pemantau untuk menentukan SOP dan juga arahan-arahan dipatuhi.
“Kilang juga kita akan pergi untuk menentukan kilang yang dibenarkan (boleh beroperasi), dalam masa sama kita juga akan memeriksa sama ada pengisytiharan itu betul ataupun tidak
“Kalau dia buat pengisytiharan palsu, mungkin akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Sementara itu, Arjunaidi juga mendedahkan, tahap pematuhan SOP PKP 3.0 di Selangor semakin baik susulan aliran trafik di negeri itu menurun sehingga 80 peratus sejak semalam.
“Pengurangan trafik antara 70 hingga 80 peratus setakat semalam.
“Mereka yang bergerak di jalan raya kita dapati sekarang ini mempunyai surat-surat kebenaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette