Home Nasional Lagi 15 lokaliti dikenakan PKPD – Ismail Sabri

Lagi 15 lokaliti dikenakan PKPD – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 lokaliti lagi melibatkan kawasan di Perak, Pahang dan Sabah akan diletakkan bawah pengawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Ahad ini.

Lokaliti itu ialah Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Mukim Ulu Kinta; Taman Kerian Tambahan, Parit Buntar; tiga perkampungan Batu 9 Lekir, Mukim Lekir, Manjung; Taman Berkat, Mukim Matang daerah Larut, Matang dan Selama; dan dua kampung Mukim Pengkalan Hulu serta dua kampung Mukim Kerunai, Hulu Perak di Perak.

Di Sabah pula melibatkan tiga lokaliti dalam daerah Papar; Lorong Ulu Sibuga 5 & 9, Fasa 7 Taman Mawar, Sandakan; Taman Wangsa, Jalan Telipok, Kota Kinabalu; dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di Pahang melibatkan Bandar Bentong dengan semua lokaliti itu dikenakan PKPD selama dua minggu sehingga 19 Jun ini.

Beliau berkata, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Teknikal PKP mendapati berlaku peningkatan kes positif Covid-19, selain kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Tiga perkampungan di Mukim Lekir, Manjung yang terlibat dengan PKPD ialah Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong, manakala daerah Papar, Sabah membabitkan Kampung Gusi Kinarut, Kampung Tengah Kinarut dan Kampung Benoni.

“Bandar Bentong melibatkan Kampung Chamang Lama/Baru, Taman Bukit Chamang, Kawasan Perindustrian Bentong, Kampung Baru/Taman Saga/Taman Bukit Indah, Kampung Sungai Marong dan Taman Bukit Bentong.

“Ini dikuti Taman Hussin/Taman Syahbandar, Kampung Perting/Kampung Kemansur/Kampung Kuala Repas, Bentong Heights, Rumah Murah Batu 1/PPRT Batu 1, Taman Bentong Makmur, Taman Harmoni, Taman Kolej dan Taman Desa Damai,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19, hari ini.

Jelas beliau, dua kampung di Mukim Pengkalan Hulu ialah Kampung Air Panas dan Kampung Kuak Luar, manakala di Mukim Kerunai melibatkan Kampung Alai dan Kampung Baharu (sebahagian dari Kampung Lalang).

Katanya, SOP bagi semua PKPD itu sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh akses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan penamatan PKPD Rumah Panjang Nyalu anak Francis, Mukah, Sarawak mulai tengah malam ini, 5 Jun.

Kawasan lain yang tamat PKPD ialah Felda Kahang Timur, Kluang, Johor; Rumah Panjang Nyalu, Jalan Mukah-Selangau, Mukah, Sarawak; Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka; Kampung Batu Muda Tambahan dan PPR Kampung Limau, Kuala Lumpur; tiga perkampungan di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan iaitu Kampung Paya Ular, Kampung Bechah Palas dan Kampung Tualang.

Turut ditamatkan mulai tengah malam ini ialah asrama pekerja Kilang Oceanic Fabric Mill dan Asrama Pekerja Kilang Purnabina, Kluang, Johor; dan Kampung Pagar Sungai Imam, Tawau, Sabah. – MalaysiaGazette