KUALA LUMPUR – Sebanyak 461 kes penipuan jual beli kenderaan secara dalam talian dilaporkan untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding 237 kes direkodkan untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya, peningkatan sebanyak 94.5 peratus.
Ia menyebabkan kerugian sebanyak RM5,424,828.67 untuk tempoh Januari hingga Mei 2021 berbanding kerugian RM1,399,926.89 untuk tempoh yang sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, siasatan mendapati modus operandi yang sering digunakan adalah dengan menawarjan harga kenderaan import terpakai yang kononnya daripada Singapura, Thailand ataupun Langkawi.
Jelas beliau, menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan, harga yang ditawarkan adalah lebih rendah darpada pasaran semasa.
“Mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut kemudiannya akan diminta memasukkan wang ke akaun keldai kononnya untuk pembayaran wang proses, cukai jalan, geran, cukai kastam dan sebagainya.
“Bagaimanapun setelah wang dimasukkan kereta yang dijanjikan tidak diterima,” katanya menerusi kenyataan.
Justeru, beliau menasihati masyarakat supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum membuat pembelian kenderaan secara atas talian.
Katanya, antara tips yang boleh digunakan ialah menghadiri diri secara fizikal ke alamat syarikat jualan kereta terpakai untuk meninjau dan melihat kereta itu sendiri selain berbincang dengan pemilik syarikat atau agen penjual yang sah dan membuat tinjauan dan semakan harga jualan semasa di pasaran kerta terpakai.
Orang ramai juga disaran supaya tidak mudah percaya dengan iklan jualan kereta terpakai yang menawarkan harga yang terlalu murah atau harga istimewa atas alasan pengecualian cukai kastam, kereta rampasan pihak berkuasa dan lain-lain alasan daripada pihak yang tidak dapat dipasstikan kesahihannya.
“Sentiasa simpan sebarang rekod perbualan dan transaksi pembayaran sebagai bukti. Memastikan urusan perjanjian jual beli melalui kaedah yang diperakui agar tidak mudah menjadi mangsa
“Membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang untuk mengenal pasti sama ada akaun bank tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan atau tidak,” tambah beliau. – MalaysiaGazette