Home Nasional Polis puas hati pematuhan SOP kawasan perindustrian Kuantan

Polis puas hati pematuhan SOP kawasan perindustrian Kuantan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali (kiri) berbual dengan beberapa pekerja kilang semasa pemeriksaan mengejut di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Polis berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di dua kawasan kilang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bandar raya itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya berpuas hati selepas membuat pemeriksaan mengejut terhadap dua kilang di sini hari ini.

“Sepanjang operasi pemantauan kawasan perindustrian dianggotai tiga pegawai dan lima anggota yang membuat lawatan di kawasan Perindustrian Padang Lalang dan Gebeng telah menunjukkan tiada kesalahan pelanggaran SOP direkodkan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Malah kata Mohamad Noor, pihaknya berpuas hati apabila pekerja kilang telah mengamalkan SOP seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, pendaftaran MySejahtera dan penyukatan suhu.

“Tinjauan kita hari ini mendapati pengurusan kilang mematuhi SOP, maka tiada sebarang kompaun dikeluarkan kepada kilang setakat ini, semuanya patuh.

“Selain itu, pihak penguruskan kilang juga menyediakan perkhimatan pengangkutan pergi dan balik kepada pekerja dengan baik,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali (kiri) berbual dengan seorang pekerja kilang semasa pemeriksaan mengejut di Kuantan hari ini.

“Masyarakat dan pihak pengurusan kena faham pemantauan dibuat bukan untuk mencari salah mana-mana pihak tetapi bagi memastikan keselamatan semua terjaga,” katanya.

Tambahnya, polis akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan sektor perkilangan mematuhi SOP sama ada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0  atau PKPD.

Mohamad Noor berharap semua sektor perkilangan di daerah itu mengamalkan pematuhan SOP yang tinggi bukan kerana takut kepada pihak berkuasa tetapi lebih kepada menjaga keselamatan mesyarakat.

“Kilang-kilang lain diharapkan patuhi SOP bukan kena takut kerana diperiksa tapi memang menjadi respon atas pematuhan SOP serta kawalan kendiri dan amalan norma baharu.

“Jangan jadikan persediaan disebabkan pemeriksaan mengejut kerana takut dikompaun oleh pihak berkuasa sebaliknya kita perlu tingkatkan tahap keselamatan diri sendiri daripada tercetusnya kluster tempat kerja jika kita memandang remeh peraturan yang dibuat,” katanya.- MalaysiaGazette