KUALA LUMPUR – Majikan berhak meletakkan syarat vaksin dalam kontrak penggajian pekerja dengan tujuan untuk melindungi kepentingan dan kesihatan pelanggan.
Nanyang Siang Pau melaporkan, walaupun kerajaan tidak mewajibkan orang ramai untuk menerima vaksin COVID-19, tetapi majikan boleh meletakkan syarat itu dalam kontrak dengan pekerja.
Sekiranya kontrak dan syarat berkenaan dipersetujui pekerja yang menerima kerja yang ditawarkan, maka pekerja harus mematuhi syarat vaksinasi atau dianggap sebagai melanggar kontrak.
Syarat vaksinasi juga boleh disamakan dengan syarat ujian kesihatan yang ditetapkan sesetengah syarikat untuk memastikan pekerja sihat dan berupaya melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Mengulas isu itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, adalah munasabah untuk majikan mewajibkan pekerja menerima vaksin kerana majikan perlu melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Jika kami tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi pekerja daripada jangkitan COVID-19, maka kami mungkin telah melanggar undang-undang mengenai tanggungjawab majikan,” katanya.
Sementara itu, Nanyang Siang Pau juga melaporkan terdapat majikan yang memberi ganjaran dalam bentuk wang tunai dan cuti tahunan kepada pekerja yang menerima vaksin.
Seorang pengusaha stesen minyak antaranya menawarkan ganjaran RM50 dan cuti tahunan pada hari vaksinasi dan hari berikutnya kepada pekerja yang menerima suntikan.
Langkah itu bertujuan menggalakkan vaksinasi oleh semua pekerja sekali gus melindungi mereka sendiri dan juga pelanggan. – MalaysiaGazette