KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Terengganu melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan kes penularan Covid-19 daripada Kluster Kampung Matang di Hulu Terengganu, yang sudah menjangkiti 127 penduduk dan kini merebak ke tiga lagi kampung lain.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, hasil siasatan mendapati kluster Kampung Matang yang tercetus kerana aktiviti kunjung-mengunjung ketika Aidilfitri dengan 19 dikesan positif daripada dua keluarga sebelum merebak ke FELCRA Bukit Kepah, Kampung Tengkawang dan Kampung Pulau Kudat.
“Selepas tamat beraya, masuk kerja dan tanpa disedari virus Covid-19, menjangkiti rakan sekerja dan paling merisaukan sudah ada jemaah masjid dijangkiti…akhirnya jangkitan bersambung,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.
Dr Nor Azimi berkata, seramai 127 kes positif dikesan dari kluster itu setakat ini, dan terkini merebak hingga ke generasi kelima.
“Kontak rapat daripada kes itu adalah seramai 725 orang, tidak termasuk saringan bersasar membabitkan tiga kampung… masih terdapat 927 sampel yang sedang menunggu keputusan hasil ujian calit penduduk.
“Hanya kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), jangkitan Covid-19 merebak membabitkan beberapa keluarga lain, jiran tetangga, pejabat akhirnya ke beberapa kampung.
“Kluster jangkitan Covid-19 baharu dijangka tumbuh seperti cendawan apabila semua pihak gagal mematuhi SOP. Jika keadaan seperti yang berlaku sehingga wujudnya kluster Kampung Matang, mampukah kita melandaikan lekuk Covid-19 dalam tempoh dua minggu?” soalnya.
Dr Nor Azimi berkata, masyarakat perlu mengambil iktibar dan tidak memandang ringan pematuhan SOP dan sentiasa memikirkan nasib orang lain.
“Kita minta masyarakat tolonglah memahami kesusahan kita terutama petugas barisan hadapan semua jika pandemik Covid-19 berterusan, tolong jangan pentingkan diri sendiri kerana akibatnya akan memudaratkan orang lain.
“Kawalan kendiri perlu diutamakan dan penting, kekalkan duduk dirumah, kecuali ada urusan penting bagi memastikan tidak akan dijangkiti atau menjangkiti orang lain.
‘Tolong dengar nasihat kami bahawa pencegahan itu lebih baik dari merawat,” katanya. – MalaysiaGazette