KUALA LUMPUR – “Saya syorkan masyarakat tidak payah takut untuk ambil vaksin”.
Itu kata seorang warga emas, Mahadevi Amah yang selesai mengambil vaksin Sinovac dos pertamanya di sini hari ini.
Wanita berusia 69 tahun itu mengakui sebelum timbul rasa takut memikirkan kesan vaksin terhadap dirinya namun sebaik sahaja selesai mendapatkannya, dirinya sihat dan tidak mengalami sebarang gejala buruk.
“Tiada apa yang perlu ditakutkan. Anak saya yang daftar untuk saya dapatkan vaksin, dalam masa 10 hari saya sudah dipanggil untuk temujanji.
“Sebelum ini, saya takut sekarang sudah tidak ada. Saya takut sebab ada orang cakap vaksin ini tidak bagus, sekarang saya nak keluar rumah takut dijangkiti, lebih baik saya suntik vaksin. Senang hati tidak rasa takut lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau antara 600 penerima vaksin Covid-19 yang terdiri daripada warga emas yang menerima suntikan vaksin Sinovac di Hospital Pakar Tawakkal (KPJ Tawakkal KL) hari ini.
Bagi Soh Beng Hock, 69, perkhidmatan yang diberikan KPJ Tawakkal KL amat baik dan mesra warga emas.
Menurut beliau, kakitangan KPJ Tawakkal KL bersikap profesional mengendalikan penerima suntikan terutama bagi golongan yang berkerusi roda.
“Amat baik, perjalanan saya datang suntik vaksin amat baik. Jururawat sedia untuk bantu kami dan beri penjelasan dengan baik. Amat baik disini, setakat ini saya rasa normal, tidak ada sakit kepala.
“Menantu saya bawa saya ke sini untuk dapatkan suntikan,” katanya gembira.
Dalam pada itu, rata-rata penerima vaksin yang ditemui juga berpuas hati dengan perjalanan imunisasi dos pertama masing-masing di KPJ.
Menurut Ismail Harris, 69, beliau rasa sihat dan tidak mengalami apa-apa gejala selepas 30 minit sesi pemantauan oleh kakitangan KPJ Tawakkal KL.
“Saya datang dengan anak mahu mendapatkan suntikan vaksin, perkhidmatan yang bagus. Anak yang buat temujanji dalam MySejahtera untuk saya, saya sedia untuk disuntik vaksin Covid-19.
“Setakat ini tidak ada simptom pening-pening, masih sihat, dos kedua saya tarikh 28 Jun depan,” katanya.
Bagi Lim Siew Ching, 69, warga emas sepertinya perlu segera mendapatkan suntikan vaksin agar usaha kerajaan untuk mewujudkan imuniti berkelompok dapat dicapai.
Menurut beliau, warga emas perlu segera dilindungi kerana mereka lebih terdedah kepada pandemik.
“Suntikan pun tak sakit, rasa macam kena gigit semut sahaja. Sebelum ambil vaksin rasa takut sebab tak pernah tengok orang ramai begini, tapi baik saya dapatkan vaksin.
“Vaksin baik untuk masyarakat, kita dapat lindungi diri kita daripada Covid-19, jangan takut untuk ambil vaksin,” katanya.
Dalam pada itu, KPJ Tawakkal KL turut menyediakan perkhidmatan suntikan vaksin secara pandu lalu di lobi kepada warga emas yang terlantar. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: