JOHOR BAHRU – Operasi Pusat Pemberian Vaksin AstraZenecca (PPVAZ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) di sini berjalan lancar dan terkawal.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati para petugas termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) dan RELA, sudah bersedia seawal jam 7 pagi bagi memastikan kelancaran trafik dan kedatangan penerima vaksin.
Selain itu, sebuah khemah bersaiz besar juga disediakan di perkarangan PPVAZ Mega Persada bertujuan membolehkan penerima vaksin terutama warga emas berteduh sementara menunggu giliran.
Di Johor, seramai 133,000 rakyat di negeri itu dijadualkan menerima vaksin Astrazeneca bermula hari ini dan akan berakhir pada 27 Julai depan.
Seramai 210 petugas terdiri daripada anggota keselamatan termasuk 119 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia KKM ditugaskan bagi memastikan program pemberian vaksin berjalan lancar.
Sementara itu, salah seorang penerima vaksin, Hussein Atan,70, yang ditemui berkata, proses suntikan mengambil masa yang singkat.
Perkara itu menjadikannya tidak perlu lama dan memudahkan urusannya sebagai warga emas.
Secara peribadi beliau menyifatkan orang ramai terutama mereka seusianya tidak menegenepikan soal kesihatan masing-masing dan memandang ringan pemberian vaksin dalam usaha membendung penularan Covid-19.
“Tak sakitlah, sakit pun tiada, pak cik beranilah. Pak cik datang ke sini dari pukul 3 petang tadi, semua alhamdulilah berjalan lancar.
“Semuanya mudah. Yang layan kami semua macam anak-anak pun baik-baik, lemah lembut. Syukur dan terima kasih,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi Halimah Hamid, 73, dari Pasir Gudang pula menyifatkan proses suntikan vaksin berjalan dengan lancar tanpa menunggu terlalu lama.
Beliau yang mengambil vaksin dengan sukarela mendakwa, proses tersusun memudahkan urusan terutama kepada warga emas sepertinya.
“Saya ambil sukarela, sebab saya nak sihat. Laluan mudah,senang dan tersusun,” katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham dilaporkan berkata, sebanyak 500 penerima vaksin AstraZeneca akan disuntik di tiga PPV Mega di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, bermula hari ini, sebelum jumlah itu dinaikkan kepada 3,000 penerima, dua hari selepas ini.
Program imunisasi kebangsaan kini memasuki fasa kedua bermula sejak 19 April lalu selepas fasa pertama pada 24 Februari lalu diberikan kepada kumpulan petugas barisan hadapan.
Kerajaan menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma, membabitkan tiga fasa.-MalaysiaGazette