KUALA LUMPUR – Belum pun selesai isu pengagihan sejumlah 150,000 unit komputer riba kepada murid golongan B40 untuk proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kini timbul pula isu peranti yang didakwa berkualiti rendah.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin mendakwa, pemberian peranti yang bernilai RM300 itu hanya menyukarkan para pelajar mengikuti kelas secara dalam talian itu kerana spesifikasi yang rendah dan tidak sesuai.
“Lebih menyedihkan apabila pakej bawah Jaringan Bantuan Prihatin, media telah melaporkan rungutan penerima bahawa peranti yang diterima berkualiti rendah hingga menyukarkan proses PdPR. Menteri tahu atau buat-buat tak tahu?
“Rakyat Malaysia berhak untuk risau dan marah. Kalau peranti yang diterima pun masih ada isu terkait kualiti yang menyukarkan PdPR, bagaimana pula nasib hampir 90,000 pelajar yang masih belum menerima apa-apa bantuan?
“Pandai-pandai sendirilah nak hidup atau bagaimana YB Menteri? Kalau isu-isu teknikal kelengkapan dan peranti pun masih bergelut untuk dituntaskan, setelah hampir setahun setengah ini, apa sebenarnya menteri dan dua timbalan dikenali melalui poster itu telah buat sebenarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memberi jaminan pengagihan sejumlah 150,000 unit komputer riba, peranti dan sambungan data percuma kepada murid golongan B40 untuk proses PdPR dijangka selesai pada September ini.
Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 12,887 komputer riba dan sambungan data telah diagihkan kepada murid yang layak manakala 40,290 akan diagihkan selewat lewatnya pada 12 Jun 2021.
Jelasnya, baki 96,823 unit pula selesai diagihkan kepada pelajar pada akhir September 2021.
Pengagihan peranti percuma itu adalah di bawah program Cerdik iaitu inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat yang diumumkan dalam Belanjawan 2021. – MalaysiaGazette