APABILA jangkitan Covid-19 semakin meningkat dan kerajaan mengumumkan ‘total
lockdown’ rakyat tiada pilihan lain melainkan duduk di rumah. Mereka hanya boleh keluar
untuk urusan penting jika tidak mahu didenda ataupun merisikokan diri dan keluarga mereka. Hanya sektor-sektor tertentu sahaja yang dibenarkan beroperasi dan tentulah termasuk sektor kesihatan. Walaupun hospital dipenuhi dengan pesakit Covid-19, kadar penyakit-penyakit lain tidak berkurangan. Pesakit-pesakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, lemah jantung, strok masih memerlukan penjagaan dan rawatan yang sama.
Malah mungkin risiko bertambah semasa PKP kerana faktor pemakanan dan kurang pergerakan fizikal apabila terkurung di rumah. Begitu juga masalah yang memerlukan prosedur atau pembedahan seperti bisul, appendisitis dan kanser dimana kadarnya tidak akan menurun. Tempat berkumpul orang ramai seperti pasar raya, masjid dan jalan raya semakin lenggang.
Kadar kedatangan pesakit bukan Covid-19 ke hospital juga semakin berkurangan. Ada
temu janji yang terpaksa ditangguhkan kerana hospital berkenaan terpaksa memberi tumpuan lebih kepada pesakit Covid-19. Namun pesakit perlu lebih bijak dalam menilai tahap kesakitan dan keperluan untuk datang mendapatkan rawatan dengan segera. Jika tidak pasti lebih baik datang ke klinik atau terus sahaja datang ke hospital. Mungkin ramai yang berfikir hospital atau premis kesihatan adalah tempat yang berisiko untuk mendapat jangkitan.
Ramai yang datang ke hospital dengan pelitup muka berlapis. Namun sebenarnya tempat inilah yang menjaga SOP dengan ketat dan sentiasa memastikan steriliti kawasan sekitarnya. Walaupun tujuan asal SOP ketat ini adalah untuk menjaga staf yang bekerja kerana tidak mahu staf terkena jangkitan dan tidak boleh meneruskan khidmat serta merisikokan pesakit yang di jaga, tetapi ia juga mengurangkan risiko jangkitan bagi pesakit dan pelawat yang datang.
Pengambilan suhu, pendafataran di MySejahtera’, pertanyaan gejala dan risiko dan hand sanitizer di pintu masuk serta di setiap ruang yang ada. Apabila ada sahaja kes positif yang di kesan, ruang yang terlibat akan cepat-cepat di sanitasi oleh pekerja-pekerja yang
sedia ada. Apabila prosedur dilakukan, setiap alat yang digunakan akan disterilkan semula.
Jangan buat keputusan sendiri untuk tangguhkan prosedur dan rawatan. Jika anda dijadualkan untuk pemeriksaan bagi diagnosis kanser, jika ditangguhkan terlalu lama akan menyebabkan kanser merebak dan mungkin sudah tidak boleh dirawat. Jika sakit melibatkan jangkitan kuman dan perlukan pembedahan seperti appendicitis dan bisul, kelewatan mendapatkan rawatan akan menyebabkan kuman merebak ke seluruh badan.
Apatah lagi jika penyakit melibatkan pendarahan dan pernafasan. Mungkin anda hanya ada beberapa minit atau jam sahaja sebelum keadaan menjadi sangat teruk. Dapatkan nasihat daripada doktor di klinik swasta berdekatan dengan rumah atau telefon hospital tempat anda dirawat. Elakkan membuat diagnosis dan rawatan sendiri di rumah.
Begitu juga dengan pesakit yang mempunyai penyakit kronik yang lain seperti penyakit
kencing manis, penyakit darah tinggi, penyakit buah pinggang dan penyakit penyakit yang
lain yang memerlukan ubat dan rawatan. Datanglah ke klinik atau hospital jika terdapat
temujanji yang telah dibuat. Apabila ubat yang dibekalkan oleh doktor telah habis, maka
hubungi pihak yang terbabit bagi mendapatkan bekalan ubat. Jangan biarkan diri tidak
dirawat.
Penyakit kencing manis dan penyakit darah tinggi yang tidak dirawat akan menyebabkan juga kesan kepada organ di dalam badan manusia. Paras gula darah tinggi yang tidak dikawal didalam pesakit kencing manis boleh mencederakan saluran saraf. Serat saraf
di seluruh badan boleh mengalami kerosakan yang dikenali sebagai neuropati diabetes.
Walaupun neuropati diabetes ialah komplikasi yang teruk, ia boleh dicegah atau
perkembangannya boleh diperlahankan dengan kawalan gula darah yang baik dan gaya hidup yang sihat.
Temujanji dengan doktor secara berkala seperti yang telah ditetapkan amatlah penting bagi memastikan badan pesakit dalam keadaan terkawal. Manakala pesakit yang mempunyai penyakit darah tinggi atau hipertensi, adalah berbahaya jika tidak dirawat. Ia akan mengakibatkan komplikasi kardiovaskular, yang membawa kepada kematian.
Komplikasi mungkin boleh terjadi apabila tekanan darah tinggi tidak dirawat. Antara komplikasinya termasuklah serangan jantung, kerosakan buah pinggang, kerosakan
otak, retinopati (kehilangan penglihatan), kerosakan saluran darah dan sakit kepala.
Kita masih belum menang melawan virus Covid-19 ini. Amalan norma baharu perlu
diteruskan hingga kita dapat mencapai imuniti kelompok. Sebelum itu semua orang perlu
menjaga diri, bukan sahaja daripada terkena jangkitan Covid-19 tetapi juga terus menjaga kesihatan sendiri daripada penyakit-penyakit lain serta sentiasa mendapatkan maklumat yang betul.
Nabi s.a.w bersabda: "Berubatlah , sesungguhnya Allah Azza Wajalla tidak meletakkan (kepada manusia) sesuatu penyakit melainkan diturunkan untuknya (penyakit tersebut) penawar kecuali satu penyakit (tiada ubat baginya). Lalu para sahabat bertanya: Apakah dia( penyakit yang tiada ubat itu ya Rasulullah) lalu Rasulullah menjawab, Tua(mati)"
Nabi menyatakan: "Jika menepati ubat itu akan penyakit maka ia akan sembuh". Ertinya kita mesti berusaha mencari ubat yang sesuai dengan penyakit kita. Mungkin sesuatu ubat itu tidak sesuai dengan seseorang walaupun ubat itu memang ubat yang khusus untuk penyakit tersebut. Sembuh bagi seseorang tetapi tidak sembuh untuk seseorang yang lain. Dengan makna yang lain ia disebut sebagai "Rasi".
Ms Afizah Salleh,
Pakar perunding Pembedahan Am
Hospital Pakar Annur.
Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)