Home Pendapat Penekanan aspek kesihatan mental dalam AKKP 1994

Penekanan aspek kesihatan mental dalam AKKP 1994

Gambar hiasan

WABAK Covid-19 telah memberikan kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia. Budaya norma baharu dalam memerangi wabak Covid-19 telah diterapkan oleh pihak kerajaan. Beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mempengaruhi norma kehidupan rakyat terutama PKP 1 yang bermula 18 Mac 2020 yang lalu.

Kini, seluruh Malaysia berhadapan lagi dengan PKP bermula 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021 dan dijangka akan mengalami beberapa fasa bagi membendung wabak Covid-19. Kebolehjangkitan varian baharu yang lebih ganas telah dikenalpasti sekitar 2021, telah mempengaruhi keputusan pihak kerajaan itu.

Secara amnya, Malaysia merekodkan tahap keresahan dan tekanan tertinggi berbanding 27 negara lain akibat wabak Covid-19 berdasarkan tinjauan firma penyelidikan pasaran dan perundingan antarabangsa (Ipsos). Perubahan rutin dan tekanan keluarga adalah antara penyebab keresahan.

Sektor pekerjaan dan perusahaan terutamanya yang melibatkan pihak majikan dan pekerja turut terkesan oleh Covid-19. Antara kesan wabak Covid-19 terhadap pekerja adalah melibatkan perubahan rutin bekerja dan organisasi.

Selain itu, kebimbangan melibatkan aspek kelangsungan kerjaya juga dialami oleh pekerja yang terkesan. Tekanan akibat perubahan rutin dan organisasi di Malaysia mencatatkan 67 peratus iaitu lebih tinggi berbanding di peringkat dunia yang mencatatkan 55 peratus, hasil tinjauan Ipsos.

Pihak majikan pula menghadapi tekanan melibatkan perniagaan, dan sumber kewangan.
Petugas kesihatan negara menghadapi penambahan bebanan kerja yang memberikan tekanan kepada mereka. Selain penambahan kerja, petugas kesihatan juga mengalami kelesuan mental dan telahpun berada pada peringkat membimbangkan.

Namun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah bertindak dengan menyediakan perkhidmatan mental dan sokongan psikososial kepada para petugas yang mengalami isu kelesuan mental. Perkhidmatan mental dan sokongan psikososial telah beroperasi sejak Januari 2020 serta talian sokongan psikososial kepada petugas kesihatan telahpun dijalankan.

Langkah proaktif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menangani isu kesihatan mental petugas kesihatan mestilah dijadikan contoh oleh perkhidmatan awam dan swasta yang lain di Malaysia terutamanya sektor-sektor yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994).

Kesihatan Mental dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994)

AKKP 1994 merupakan akta yang menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan kepada orang yang sedang bekerja. Seksyen 2(1) memperuntukkan AKKP 1994 merupakan akta tambahan dan tidak mengurangkan undang-undang bertulis lain, manakala Seksyen 2(2) memperuntukkan, jika terdapat percanggahan undang-undang bertulis lain yang berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan seperti Akta Kilang dan Jentera 1967 dengan AKKP 1994, AKKP 1994 akan terpakai.

Persoalan yang timbul, sama ada AKKP 1994 mengurus aspek kesihatan mental di tempat kerja ataupun tidak? Menurut Tan Sri Lee Lam Thye yang merupakan bekas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), beliau menyatakan bahawa, tiada peruntukan khusus berkenaan dengan kesihatan mental di bawah AKKP 1994. Isu kesihatan mental melibatkan sektor-sektor pekerjaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut beliau, isu kesihatan mental di tempat kerja melibatkan sektor-sektor dalam Jadual Pertama AKKP 1994, kesemuanya akan dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Tambahan pula, masalah mental juga boleh menyebabkan kemalangan dan bukan berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) sahaja.

Aspek kesihatan mental dalam kalangan pekerja dan majikan mestilah lebih dititikberatkan di musim wabak Covid-19 ini, kerana pengabaian aspek kesihatan mental boleh merugikan organisasi dan negara pada masa hadapan. Ini dibuktikan dengan rekod isu kesihatan mental di tempat kerja yang semakin tinggi setiap tahun.

Bekas Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye juga mencadangkan supaya memperkasakan kesihatan mental dalam sektor pekerjaan dengan melakukan pindaan terhadap AKKP 1994. Datuk Wilson Ugak Kumbong, yang merupakan Pengerusi NIOSH baharu menggalakkan supaya semua majikan menyediakan langkah berkesan kepada pekerja yang terjejas akibat isu kesihatan mental.

Perincian Pindaan serta Penambahbaikan AKKP 1994

Sebagai lanjutan daripada cadangan untuk meminda AKKP 1994 oleh Tan Sri Lee Lam Thye dan Datuk Wilson Ugak Kumbong, beberapa penambahbaikan dan pindaan dalam AKKP 1994 boleh dipertimbangkan khususnya hal ehwal melibatkan sokongan kesejahteraan mental. Penambahbaikan serta pindaan dalam AKKP 1994 perlulah meliputi aspek sokongan kesejahteraan mental amat penting untuk mengurangkan kemalangan di tempat kerja, memastikan majikan dan pekerja dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu di musim wabak Covid-19 dengan lebih berkesan sama ada di tempat kerja atau bekerja dari rumah.

Misalnya, tafsiran perkataan “kesihatan” perlu diperincikan dan diperluaskan dalam AKKP 1994. Seksyen 3 AKKP 1994 haruslah menerangkan secara jelas maksud “kesihatan” yang meliputi kedua-dua aspek fizikal dan mental. Ini bertepatan dengan maksud “kesihatan” menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang merangkumi aspek fizikal, mental dan kesejahteraan emosi. Tafsiran yang jelas yang menekankan kedua-dua aspek fizikal dan mental di tempat kerja bagi tafsiran perkataan “kesihatan” amat penting bagi mewujudkan kesedaran kepada pihak majikan dan pekerja bahawa kedua-dua aspek
berkenaan amat berkait rapat antara satu sama lain dan tidak boleh diabai salah satunya.

Di samping itu, kualiti sesuatu kerja salah satunya adalah hasil daripada kesejahteraan fizikal dan mental yang baik. Seksyen 4(b) AKKP 1994 menyatakan tujuan AKKP 1994 salah satunya adalah untuk menggalakkan suasana pekerjaan pekerja yang sedang bekerja sesuai dengan keperluan fisiologi dan psikologi. Psikologi menurut kamus dewan bermaksud “kajian tentang proses mental dan pemikiran”.

Dengan kata lain, AKKP 1994 sedia ada tidak menerangkan peraturan-peraturan, langkah-langkah berkesan atau prosedur operasi standard (SOP) secara jelas untuk memperkasa kesejahteraanmental ataupun psikologi pekerja seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 4(b). Pindaan terhadap AKKP 1994 juga mestilah menekankan tentang garis panduan serta langkah-langkah atau prosedur operasi standard (SOP) yang mesti dipatuhi majikan dan pekerja dalam memastikan kesejahteraan mental di tempat
kerja.

Realiti dan kesimpulan

Realiti yang perlu dihadapi oleh semua pihak dalam sektor pekerjaan dan perusahaan kini adalah mengenai ketiadaan peraturan-peraturan, peruntukan undang-undang khusus berkenaan dengan sokongan kesihatan mental di tempat kerja. Malahan, ketiadaan sokongan kesejahteraan mental terhadap pekerja yang terpaksa bekerja dari rumah, melibatkan sektor yang terkesan dalam Jadual Pertama AKKP 1994 di musim wabak Covid-19 juga tidak perlu diabaikan.

Oleh itu, peraturan-peraturan dan peruntukan undang-undang khusus di bawah AKKP 1994 berkaitan dengan sokongan kesejahteraan kesihatan mental amat diperlukan bagi menguruskan isu kesihatan mental di tempat kerja. Apa yang boleh dilakukan sekarang terutamanya di musim Covid-19 adalah dengan menggalakkan majikan-majikan dalam sektor pekerjaan seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama AKKP 1994, supaya mengambil langkah yang lebih proaktif, peka serta cakna mengenai isu kesihatan mental di tempat kerja.

Salah satunya adalah dengan melaksanakan dan menubuhkan jawatankuasa dalaman khas di tempat kerja yang menguruskan dan menyediakan sokongan kesejahteraan mental pekerja terutamanya di musim wabak Covid-19. Selain itu, peraturan-peraturan tambahan yang positif kepada kesihatan mental pekerja di tempat kerja amat wajar dipertimbangkan selagi mana peraturan-peraturan terbabit dapat menggalakkan suasana
kerja yang lebih positif di musim wabak Covid-19, serta dapat membantu produktiviti sesuatu sektor pekerjaan.

Mursyida  Abdul Rahman
Pensyarah Undang-undang
President College
Anjung Semarak Rimbun, 
189-A Lorong Semarak 1/3B, Taman Semarak, 
08000 Sungai Petani, Kedah, Malaysia