Home Pendapat Kebaikan dan keburukan idea kerajaan perpaduan

Kebaikan dan keburukan idea kerajaan perpaduan

Gambar hiasan

MASALAH ketidakstabilan politik tidak boleh dibiarkan berlaku ketika ini memandangkan negara kita sedang berdepan dengan penularan virus Covid-19. Seperti yang diketahui umum, virus Covid-19 adalah sejenis virus baharu yang sangat bahaya kepada kesihatan manusia. Sehingga kini, lebih 3 juta manusia telah maut akibat daripada penularan virus Covid-19 di seluruh dunia.

Lebih membimbangkan lagi wujudnya pelbagai jenis mutasi yang lebih berbahaya kepada tahap kesihatan dan nyawa manusia. Negara kita juga telah menyaksikan peningkatan mendadak jumlah kes baru harian jangkitan virus Covid-19 ini sejak kebelakangan ini dengan lebih 3,000 kematian yang telah dilaporkan sehingga kini akibat daripada virus terbabit.

Oleh yang demikian adalah penting negara memberi tumpuan sepenuhnya bagi membendung penularan virus Covid-19 ini dan sebarang masalah berbangkit seperti  ketidakstabilan politik yang boleh menjejaskan fokus dan usaha membendung penularan virus Covid-19 ini perlu dielakkan sepenuhnya. Masalah ketidakstabilan politik yang berlaku kini telah menyebabkan ramai pihak mengutarakan pelbagai jenis cadangan bagi menghentikan ketidakstabilan politik yang sedang berlaku dan mahukan pihak kerajaan untuk membuka kembali Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah ditutup setelah pengistiharan darurat dilakukan pada bulan Januari yang lalu.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah untuk mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan yang meliputi kesemua parti politik yang ada dalam negara kita. Apakah kerajaan perpaduan? Kerajaan perpaduan ialah sebuah kerajaan yang dianggotai oleh semua parti politik yang ada didalam sesebuah negara. Dalam kerajaan perpaduan ini semua parti politik yang ada akan megetepikan perbezaan politik yang mereka ada serta bergabung dibawah satu pasukan kerajaan yang sama.

Ia boleh diibaratkan sebagai sebuah pemerintahan yang tiada barisan pembangkang ataupun barisan alternatif yang lain. Penubuhan sebuah kerajaan perpaduan dilakukan atas pelbagai faktor seperti faktor kecemasan ataupun darurat, faktor serangan musuh, faktor bencana alam, faktor ketiadaan sebuah kerajaan yang boleh memerintah negara,
dan lain – lain faktor lagi. Tiada tempoh waktu ditetapkan untuk kewujudan kerajaan perpaduan ini. Semuanya terpulang pada setiap ahli politik serta parti politik yang
terlibat untuk menentukan tempoh waktu kewujudan kerajaan perpaduan ini. Selalunya kerajaan perpaduan ini diwujudkan untuk sementara waktu sahaja.

Setelah segala masalah besar yang dihadapi negara berjaya diselesaikan, kerajaan perpaduan ini akan terbubar dan proses pemerintahan negara akan kembali menjadi seperti biasa dengan wujudnya kembali barisan kerajaan dan barisan pembangkang.
Perkara pokok yang harus ditanya kini apakah kebaikan dan keburukan terhadap cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ini?

Antara kebaikan yang boleh diperolehi melalui penubuhan sebuah kerajaan perpaduan ini ialah dapat mewujudkan sebuah negara atau kerajaan yang kuat dan stabil kerana tiadanya pasukan ataupun barisan pembangkang yang akan mempertikaikan sebarang
keputusan atau tindakan kerajaan yang memerintah. Melalui penubuhan kerajaan perpaduan juga, sesuatu dasar dan polisi dapat diperkenalkan dan dikuatkuasakan oleh pemerintah dengan lebih mudah serta cepat dirasai oleh semua pihak khususnya rakyat kerana semua ahli politik dan parti politik yang ada sudah mengetepikan perbezaan politik masing–masing.

Faktor kekuatan dan kestabilan dalam proses pemerintahan ini juga penting bagi melawan penularan virus Covid-19 yang sedang berlaku pada ketika ini. Melalui penubuhan
kerajaan perpaduan, pihak pemerintah dapat memberi fokus mereka dengan sepenuhnya bagi melawan penularan virus Covid-19 tanpa gangguan dari mana-mana pihak
khususnya dari kalangan orang politik. Dengan adanya kerajaan perpaduan ini juga, ia dapat menghentikan musuh–musuh luar negara daripada menganggu gugat keamanan
dan keselamtan negara kita kerana fokus sepenuhnya dapat diberikan oleh pihak pemerintah bagi memperkuatkan sempadan negara.

Pada masa yang sama juga, cadangan penubuhan kerajaan perpaduan juga boleh membawa kepada beberapa keburukan. Antara keburukan yang paling jelas ialah dengan
tiadanya barisan pembangkang, pihak kerajaan bebas melakukan apa-apa saja perkara yang mereka ingini. Dengan tiadanya barisan pembangkang, proses semak dan imbang sukar untuk dilakukan, sekali gus boleh membuka ruang yang luas kepada kegiatan penyalahgunaan kuasa dan jenayah rasuah dilakukan oleh pihak pemerintah. Segala dasar atau polisi yang dirangka oleh kerajaan perpaduan ini juga dilihat akan menjadi sebuah dasar atau polisi syok sendiri kerana ianya dirangka tanpa melalui proses semak dan imbang yang selalunya dilakukan dengan kehadiran barisan pembangkang.

Turut dibimbangi, segala dasar dan polisi yang ingin dirangka melalui kerajaan perpaduan yang tiada proses semak dan imbang ini bakal memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara. Dengan tiadanya barisan pembangkang, sistem demokrasi negara akan menjadi terbantut serta tidak dapat berfungsi dengan baik. Sekiranya sistem demokrasi negara terbantut dan tidak dapat berfungsi dengan baik, yang rugi adalah rakyat serta negara. Terdapat juga kebimbangan dengan adanya kerajaan perpaduan ini, mereka yang berada dalam kerajaan perpaduan akan rasa selesa untuk memerintah selama–lamanya, sekali gus boleh membawa negara kita ke arah pemerintahan diktator yang boleh memusnahkan negara kita.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

2 Komen

  1. Prof, skandal 1MDB berlaku depan mata parti pembangkang dan tendang keluar Singapore sambil serah Penang kepada majority kaum asing berlaku depan mata pembangkang juga. Begitu juga, dasar ekonomi apartheid aka DEB 30% ekonomi untuk majority Melayu supaya minority kaum asing dari Tanah Besar Cina dan India meraih 70% ekonomi masih berlaku depan mata pembangkang. Banyak lagi salah-guna kuasa dan pemerintah rasuah berlaku depan mata pembangkang untuk prof sila huraikan okay.

Comments are closed.