Home Seni Hidup Astro henti sementara program All Together Now Malaysia

Astro henti sementara program All Together Now Malaysia

All Together Now Malaysia telah mula bersiaran episod pertama pada malam Ahad lalu.

KUALA LUMPUR – Astro selaku pihak penerbitan rancangan All Together Now Malaysia mengambil keputusan untuk menghentikan sementara program tersebut sehingga siasatan berkaitan dakwaan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) selesai.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, rakaman program tersebut dibuat pada Mac lalu.

“Rakaman program tersebut dibuat pada Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0).

“Kru penerbitan telah menjalankan ujian calitan Covid-19 ke atas semua yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula dan hanya mereka yang berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Raqim menambah, set yang dibina juga telah mengambil kira penjarakan fizikal antara juri dan berjarak 1.5 meter antara juri di samping diletakkan penghadang lutsinar antara mereka.

Malah, rakaman program tersebut juga turut dihadiri wakil daripada agensi-agensi keselamatan.

Terdahulu, satu laporan berita tempatan memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan agar siasatan dilakukan ke atas penerbitan rancangan berkenaan susulan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rabin Basir, berkata siasatan ke atas rancangan itu akan dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), jelas laporan terbabit.

Laporan itu turut memetik bahawa KKMM akan mengambil tindakan sewajarnya, jika mereka mengenal pasti wujud berlakunya pelanggaran SOP sepanjang rakaman program berkenaan.

Program tersebut telah pun bersiaran minggu pertama pada Ahad lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Program hiburan himpun 50 juri langgar SOP?