KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara pemimpin utama parti politik yang turut serta menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.
Anwar yang kelihatan menaiki kenderaan jenis Jaguar berwarna hitam tiba di Pintu 2, Istana Negara, kira-kira jam 10.35 pagi tadi dengan diiringi sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih.
Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terawal tiba di Istana Negara, kira-kira 7.49 pagi ini.
Muhyiddin kemudian beredar selepas hampir sejam menghadap YDPA kira-kira 8.55 pagi sebelum bergegas ke Putrajaya bagi mempengerusikan mesyuarat Kabinet jam 9.30 pagi tadi.
Sebelum ini, media melaporkan selepas Bersatu, YDPA dijangka bertemu pemimpin DAP dan PKR pada hari Khamis, dan seterusnya pemimpin Parti Pejuang Tanah Air dan UMNO pada Jumaat.
Spekulasi dalam arena politik sedang bertiup kencang setelah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, membuat satu hantaran dalam akaun Twitternya yang membayangkanYDPA memberi perkenan menerima menghadap barisan pemimpin utama parti-parti politik.
Namun menjadi kelaziman, Perdana Menteri akan menghadap YDPA pada setiap Rabu untuk menghadiri mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.
Perjumpaan Perdana Menteri pada awal hari ini dipercayai ada kaitan dengan keadaan semasa negara, terutama isu penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.
Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat itu hingga 1 Ogos depan atau suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri pada 9 Februari lalu, mengumumkan pelantikan 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Jawatankuasa yang ditubuhkan bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya. – MalaysiaGazette