KUALA LUMPUR- Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menggesa semua pengamal media yang masih belum divaksin untuk tidak membuat liputan berita di kawasan awam.
Presidennya, Farah Marshita Abd. Fatah berkata, langkah itu adalah untuk membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pengamal media yang setakat ini masih belum menerima suntikan vaksin masing-masing.
“Dengan itu, NUJM meminta kerjasama daripada pihak pengurusan syarikat media swasta, kerajaan dan ketua-ketua pengarang untuk hanya menghantar kakitangan yang telah divaksin untuk membuat liputan berita di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, para pengamal media yang telah divaksin turut diingatkan untuk terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan diri.
“Untuk makluman, setakat hari ini, hanya segelintir pengamal media yang telah menerima notifikasi tarikh temujanji vaksin masing-masing.
“Sedangkan, masih ramai pengamal media di seluruh negara sedang menunggu makluman tersebut,” katanya lagi sambil menambah, berdasarkan situasi politik semasa yang mana para pengamal media terpaksa “berkampung” di lapangan untuk mendapatkan berita, tidak mustahil terdapat kemungkinan berlakunya penularan wabak Covid-19.
Dengan itu, NUJM katanya, sekali lagi menggesa kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi para pengamal media seperti yang dijanjikan. – MalaysiaGazette