Home Nasional Feri ikonik Pulau Pinang berjaya diapungkan semula

Feri ikonik Pulau Pinang berjaya diapungkan semula

Feri ikonik Pulau Pinang berjaya diapungkan semula semalam.

GEORGE TOWN – Feri ikonik Pulau Pinang yang sebelum ini dilaporkan hampir karam akibat mengalami kebocoran berjaya diapungkan semula dalam Sungai Perai di Limbungan Bagan Dalam, Butterworth semalam.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng berkata, feri  berkenaan diapungkan semula pada jam 10 malam.

“Pasukan pembaikan kami akan terus memberi perhatian dan pemeriksaan penuh berkaitan keadaan feri dari semasa ke semasa untuk memastikan peristiwa ini tidak akan berlaku lagi.

“Sekiranya semua tindakan pembaikan telah siap dilaksanakan, feri itu akan ditempatkan di Tanjung City Marina dan akan diubah suai sebagai muzium terapung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, ketika ini terdapat enam buah feri ikonik di Pulau Pinang.

Sebuah feri dihadiahkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang; dua akan dijadikan feri pelancongan, dua akan dijadikan restoran terapung; dan satu lagi akan dijadikan muzium terapung.

Terdahulu tular beberapa keping gambar menunjukkan keadaan feri Pulau Pinang dimasuki air dan hampir tenggelam akibat tidak diselenggara dengan baik. – MalaysiaGazette