KUALA LUMPUR – Pelakon sitkom popular Phua Chu Kang, Gurmit Singh, 56, dilarang memandu selama tiga bulan dan didenda sebanyak RM2,490 (S$800) selepas didapati bersalah kerana memandu melebihi had laju.
Gurmit yang didakwa di bawah Akta Lalu Lintas mengaku bersalah terhadap tuduhan itu.
Pelakon dan pengacara popular Singapura itu didakwa memandu pada kelajuan 131 kilometer sejam (km/j) melebihi had laju ditetapkan iaitu 70km/j.
Dia yang hadir ke mahkamah semalam dengan tidak diwakili peguam tidak pernah terbabit dengan mana-mana kesalahan undang-undang sebelum ini.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman larangan memandu kepada Gurmit.
Gurmit atau nama sebenarnya Gurmit Singh Virk Chainchal Singh ketika membela diri memaklumkan pada mahkamah sewaktu kejadian dia dalam perjalanan mengambil anaknya dari tempat kerja.
Gurmit berkata, dia berharap mahkamah memahami bahawa dia bukan seorang pemandu cuai serta melakukan perkara itu setiap hari.
Sementara itu, Hakim Salina Ishak memberitahu Gurmit bahawa tindakannya boleh menyebabkan nyawa dia dan anaknya dalam bahaya.
Pada perbicaaan itu, Gurmit dilihat hadir ke mahkamah bersendirian dengan memakai kemeja lengan panjang berwarna kelabu.
Selain sitkom Phua Chu Kang, Gurmit yang juga popular di Malaysia pernah berlakon dalam filem Sumolah bersama Datuk Afdlin Shauki, Datuk Awie, Radhi Khalid dan Patrick Teoh. – MalaysiaGazette