Home Nasional Sindiket seludup tembakau kunyah mungkin peralatkan warga tempatan – Sumber

Sindiket seludup tembakau kunyah mungkin peralatkan warga tempatan – Sumber

Antara barangan yang dirampas dalam sindiket penyeludupan tembakau kunyah di kilang pemprosesan di Ipoh

KUALA LUMPUR – Premis penyimpanan dan pemerosesan tembakau kunyah telah diserbu dan disita, namun ia tidak akan pupus begitu sahaja.

Begitu juga dengan sindiket penyeludupan tembakau kunyah yang mana ia juga tidak akan hilang begitu sahaja kerana terdapat premis yang masih beroperasi dan kini ia dipantau pihak berkuasa.

Menurut sumber, terdapat kemungkinan terdapat sindiket memperalatkan warga tempatan dan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengambil kesempatan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

“Malah lebih mengejutkan apabila operasi ‘kilang’ menghasilkan produk terlarang ini terus beroperasi tanpa sebarang pematuhan SOP kerana ia dijalankan secara senyap-senyap’dan rata-rata pekerjanya pula warga asing.

“Saya diberitahu ada lagi kilang milik bersama warga Bangladesh ini bersama warga tempatan dalam pemantauan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas serbuan yang dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) ke atas dua premis di Simpang Pulai dan Bandar Seri Botani, Perak pada Ahad lalu.

Dalam serbuan itu, JKDM merampas 3,371.86 kilogram (kg) tembakau kunyah dianggarkan bernilai RM168,596 dengan jumlah cukai RM211,587.98.

Pada awal tahun ini, MalaysiaGazette melaporkan bagaimana seorang lelaki Bangladesh mempergunakan isterinya warga tempatan menjalankan sindiket penyeludupan sejak 15 tahun lalu tdi Ipoh.

Antaranya barangan yang diseludup masuk ke negara ini ialah  ialah ubat-ubatan yang tidak berdaftar.

Malah warga Bangladesh itu dikatakan turut menghasilkan tembakau kunyah serta akij beedi (curut) dari dan menjualnya kepada pelanggan warga India dan Bangladesh.

Menurut sumber, sindiket yang baharu sahaja ditumpaskan itu mempunyai kaitan dengan lelaki tersebut.

Tambah beliau, selain produk yang dihasilkan itu membahayakan pengguna, negara turut kehilangan hasil cukai berjumlah berjuta ringgit. – MalaysiaGazette

Warga Bangladesh guna nama isteri jual ubat seludup, tiruan

Lagi warga Bangladesh peralat rakyat tempatan