Home Ekonomi Dana Penjana Nasional berjaya kumpul RM850 juta pada pusingan awal

Dana Penjana Nasional berjaya kumpul RM850 juta pada pusingan awal

Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR- Program Dana Penjana Nasional (DPN) berjaya mengumpul dana sebanyak RM850 juta pada pusingan awal berakhir Mei lalu.

Syarikat yang mengendalikan DPN, Penjana Kapital Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan berkata, pengumpulan dana sebanyak RM850 juta ini telah melebihi sasaran awal kutipan sebanyak RM622 juta ataupun 3.7 kali lebih daripada sasaran awal RM228 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM433 juta ataupun lebih daripada 55 peratus merupakan modal pelabur- pelabur asing, termasuk pelaburan dari Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, sebanyak RM118 juta pelaburan telah diluluskan untuk sembilan syarikat pemula niaga.

Ini termasuk syarikat pemula niaga mobiliti tempatan yang dijangka mewujudkan lebih kurang 1,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

Ianya melibatkan pelaburan daripada sebuah syarikat gergasi automotif global yang akan mengukuhkan kedudukan syarikat mobiliti ini sebagai sebuah syarikat yang berpotensi untuk menjadi syarikat unicorn Malaysia.

Selain itu,sebuah syarikat teknologi kewangan (fintech) dengan perniagaan berteraskan inovasi akan memindahkan ibu pejabat syarikat tersebut ke Malaysia dari Singapura selepas melabur.

Pelaburan itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan menarik pekerja yang berkemahiran ke Malaysia untuk berkongsi pengetahuan.

Dalam pada itu, sebuah syarikat teknologi kewangan (fintech) pra-unicorn dengan barisan pelanggan yang terdiri daripada syarikat multinasional di seluruh Asia telah memberikan komitmen untuk melabur sehingga AS$100 juta di Malaysia dalam masa lima tahun selepas pelaburan.

Perkembangan syarikat tersebut di Malaysia dijangka memberikan peluang perkongsian pengetahuan daripada pekerja-pekerja yang telah dilatih di Silicon Valley dan akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di dalam industry teknologi kewangan.

Sebuah syarikat teknologi pertanian (agritech) yang bercadang untuk melabur AS$15– AS$75 juta di Malaysia.

“Matlamat DPN ini adalah berteraskan keperluan untuk memastikan industri syarikat pemula niaga di Malaysia boleh mengatasi cabaran pembiayaan yang berkaitan dengan Covid-19, dan terus berinovasi untuk menyumbang kepada kemajuan negara di dalam pelbagai sektor, termasuk mobiliti, pertanian dan kesihatan.

“Projek-projek yang telah dipilih sedang mengembangkan solusi yang bertunjangkan innovasi serta berteknologi canggih, yang kesemuanya akan membantu Malaysia mencapai visi MyDigital lebih pantas daripada jangkaan,” katanya.- MalaysiaGazette