Home Seni Hidup Kenyataan Dr Muhaya hanya kiasan – Netizen

Kenyataan Dr Muhaya hanya kiasan – Netizen

Datuk Prof Dr Muhaya ketika di temubual oleh Malaysia Gazette di butik beliau di Kajang,Selangor. Foto FIKRI YAZID.

KUALA LUMPUR – Nama pakar motivasi, Prof. Datuk Dr. Muhaya Mohamad menjadi perdebatan di kalangan netizen selepas beliau memuat naik sebuah video berkaitan jodoh di laman media sosialnya semalam.

Muhaya memuat naik video yang menyatakan seorang wanita “biarlah macam bodoh-bodoh sikit” jika mahu cepat mendapat jodoh.

Kenyataan beliau itu mendapat kecaman ramai malah turut dibidas pelatih pakar bedah, Dr. Nur Amalina Che Bakri di laman Twitter.

Namun terdapat netizen mempertahankan kenyataan Dr Muhaya apabila mereka menganggap mesej daripada video itu telah disalah tafsir.

Mereka berpendapat kenyataan itu sebagai kiasan sahaja dan bukannya menyuruh wanita menjadi bodoh untuk mendapatkan suami.

Jelas mereka, ia sebagau nasihat agar wanita merendah diri, bertoleransi dan jangan rasa terlalu pandai hingga kaum lelaki tidak selesa dan tercabar.

Terdahulu, Muhaya menyatakan kedudukan lelaki masih sebagai ketua dan imam bagi seorang wanita walau jawatan seseorang wanita itu lebih tinggi.

Katanya, wanita perlu meraikan kepimpinan lelaki dan tidak terlalu sibuk mahu berdiri sama tinggi dengan lelaki dan terlalu mahu berdikari kerana boleh mengakibatkan lambat dapat jodoh.

“Orang lelaki suka wanita lemah lembut, yang mengharapkan, suka ditolong. Biarlah macam bodoh-bodoh sikit,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.