Home Nasional KPWKM gerak 15,000 sukarelawan bantu program imunisasi PICK

KPWKM gerak 15,000 sukarelawan bantu program imunisasi PICK

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

SEPANG – Kira-kira 15,000 sukarelawan digerakkan bagi membantu melancarkan proses Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ia merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensi-agensinya untuk mengoptimumkan sasaran imuniti kelompok kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah itu perlu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khusnya warga emas dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menerima vaksin Covid-19.

“Ini merupakan salah satu kerjasama diantara kementerian, MOSTI dan juga KKM untuk kita sama-sama memenangi peperangan Covid-19.

“Tidak ada cara lain kita harus beri vaksin kepada seramai mungkin agar imuniti kelompok sebanyak 80 peratus itu akan dapat kita capai dengan segera,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan dan lawatan di Pusat Jagaan Rumah Kebajikan Calvary Land hari ini.

Sukarelawan itu terdiri daripada sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Sukarelawan Khidmat Bantu di Rumah, Skuad Prihatin Negara, Skuad Waja Jabatan Pembangunan Wanita, dan Sukarelawan Yayasan Kebajikan Negara.

Untuk hari ini, sejumlah 31 penghuni pusat jagaan ini telah divaksin bersama-sama 15 kakitangan yang lain.

Ahad lalu, Rina berkata, kira-kira sejuta warga emas di seluruh negara sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin menerusi PICK sehingga kini.

Daripada jumlah itu, seramai 229,462 sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin, manakala selebihnya menerima suntikan pertama sejak fasa kedua program vaksinasi berkenaan yang mengutamakan golongan warga emas, dimulakan April lalu.

Dalam pada itu, Rina berkata, pihaknya telah menghantarkan cadangan kepada kerajaan agar 49 buah Klinik Nur Sejahtera di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diangkat sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ini kerana katanya, Klinik Nur Sejahtera sudah mempunyai pakar perubatan yang terlatih dan sedia untuk proses imunisasi kepada warga emas.

“Kita sudah hantar cadangan ini kepada kementerian berkaitan supaya ini juga sebagai salah satu usaha kementerian untuk sama-sama membantu dan bekerja sebagai satu pasukan agar kita dapat memerangi Covid-19 ini dengan segera.

“Di Klinik Nur Sejahtera kita juga ada tenaga pakar yang turut memberikan vaksin dalam kes biasa ini. Kita sudah ada kepakaran itu kalau mereka ini boleh dijadikan sebagai PPV.

“Ini adalah usaha kementerian untuk bersama-sama membantu program PICK,” katanya lagi.

Selain Klinik Nur Sejahtera, KPWKM juga turut mempunyai 15 klinik bergerak yang sesuai untuk dijadikan PPV. – MalaysiaGazette