KUALA LUMPUR – Ketika pertemuan empat mata antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam, Ketua Pembangkang didakwa telah menyerahkan dua dokumen.
Menurut sumber yang enggan dinamakan, Anwar didakwa menyerahkan dokumen penting untuk pertimbangan Agong.
“Anwar semasa sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ada menyerahkan dua dokumen penting tentang cara menyelesaikan masalah covid dan juga cara membangun semula ekonomi dan negara yang kian lumpuh,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Anwar semalam antara pemimpin pembangkang yang menghadap Agong di Istana Negara.
Ia selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbuat demikian pukul 7.49 pagi semalam.
Menurut sumber itu lagi, kedua-dua dokumen penting itu dikatakan ada kaitan dengan cadangan pihak pembangkang untuk kerajaan menyelesaikan penularan Covid-19.
“Ini merupakan komitmen Anwar bahawa beliau serius, komited dan mempunyai agenda yang jelas,” katanya lagi.
Bagaimanapun, sumber itu tidak memperincikan kandungan dua dokumen penting berkenaan.
Hari ini, beberapa lagi pemimpin politik antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) turut akan menghadap Agong hari ini.
Antara yang sudah menghapda Agong hari ini adalah Timbalan Predie Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Al-Sultan Abdullah dalam satu kenyataan rasminya semalam bertitah satu perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu akan diadakan di Istana Negara pada 16 Jun ini.
Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah atas inisiatif Seri Paduka Baginda dan akan dipengerusikan oleh YDPA. – MalaysiaGazette