Home Nasional Kematian ibu bukan penghalang cemerlang dalam SPM

Kematian ibu bukan penghalang cemerlang dalam SPM

Izzati menunjukkan gambar arwah ibunya serta keputusan cemerlang SPM yang diperolehnya ketika ditemui di Bukit Mertajam Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – “Kehilangan ibu enam bulan memang dugaan yang berat buat saya tapi itu tidak menjadi halangan untuk memastikan diri ini memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)”.

Itu kata Izzati Syafiqah Mohd Nazri, 18, anak tunggal kepada seorang guru yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada November lalu.

Izzati juga tidak menyangka menjadi pelajar terbaik SPM Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarifil Wataniah 2 di sini selepas meraih keputusan cemerlang 8A hari ini.

Izzati diberitahu dirinya merupakan pelajar terbaik sekolah oleh pengetuanya secara maya.

Jelasnya, dia hanya mengetahui dirinya merupakan pelajar terbaik sekolah berkenaan selepas guru besar membuat perjumpaan secara maya bersama pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang pada jam 11 pagi ini.

“Saya macam orang lain juga tidak menyangka mendapat keputusan 8A dan saya mendedikasikan kejayaan ini kepada ibu bapa, guru yang membantu memperoleh keputusan cemerlang.

“Cuma apa yang menyedihkan ‘hadiah’ keputusan ini tidak dapat dikongsikan dengan mak sedangkan dia insan yang selalu berpesan kepada saya untuk berusaha untuk mencapai keputusan cemerlang dan tidak menjadi seperti dirinya yang terpaksa mengambil SPM berulang kali untuk memastikan bergelar warga pendidik.

Izzati tidak dapat menahan sebak mengenangkan ibunya.

“Saya tak tahu hadiah ini cukup atau tidak untuk emak, kalau boleh saya nak semua A namun rezeki sudah tertulis sebegini dan saya bersyukur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Mengkuang Titi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Izzati memberitahu, dia kehilangan insan tersayang itu selepas selesai kertas percubaan SPM namun itu tidak menjadi alasan buat dirinya untuk membuktikan mampu mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Ramai saudara, rakan bagi kata semangat supaya saya tidak putus asa dan bagi saya ia tidak menjadi halangan untuk memajukan diri.

“Ini saja cara saya nak harumkan nama keluarg sebagai seorang anak tunggal,” ujar Izzati.

Izzati menunjukkan keputusan SPM yang disemak secara online.

Ditanya berkenaan rahsia kejayaannya, Izzati menjelaskan, dia mendengar nasihat dan tunjur ajar dari guru-guru serta fokus semasa belajar.

“Jangan ponteng kelas proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berkat ilmu guru itu penting baru kita akan berjaya.

“Walaupun terpaksa membahagikan masa untuk uruskan ayah yang kini menjalani proses dialisis akibat sakit kencing manis saya tetap pastikan masuk sesi PdPR supaya tidak ketinggalan nota yang disampaikan cikgu-cikgu.

“Saya berhasrat melanjutkan pelajaran selepas ini dan InsyaAllah akan mengikuti jejak arwah mak untuk bergelar sebagai seorang guru.

“Memang dari kecil saya bercita-cita menjadi seorang cikgu dan saya harap keputusan ini akan membantu saya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut,” kata Izzati.

Sementara itu, bapanya, Mohd Nazri Mat Isa @Ahmad, 47, ketika ditemui di pusat dialisis  berbangga dan bersyukur terhadap pencapaian anak tunggalnya itu.

Izzati menujukkan keputusan SPM kepada bapanya yang sedang menjalani proses dialisis di sebuah pusat dialisis di sini.

Jelasnya, kejayaan Izzati boleh dijadikan inspirasi kepada calon-calon SPM akan datang yang perlu menempuhi pembelajaran secara PdPR.

“Saya berterima kasih dengan pihak sekolah dan semua pihak yang bekerjasama membantu bukan sahaja kejayaan anak saya tetapi juga pelajar lain yang turut mendapat keputusan cemerlang.

“Saya bagi peluang kepada dia untuk memilih jurusan yang dia minat dan jika rezeki memihak kepadanya, maka dia akan menjadi cikgu suatu hari kelak,” kata Mohd Nazri. – MalaysiaGazette