Home Sukan Pelaburan besar Chelsea demi Haaland, Hakimi

Pelaburan besar Chelsea demi Haaland, Hakimi

Erling Haaland dan juga Achraf Hakimi (kiri). Foto Goal.

LONDON – Chelsea kelihatan bernafsu untuk berbelanja besar apabila dilaporkan cuba mendapatkan khidmat bintang muda sensasi dunia, Erling Haaland dan juga Achraf Hakimi bagi menghadapi kempen musim baharu.

Kejayaan menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 tempoh hari menyebabkan The Blues serius untuk menambah kekuatan pasukan dengan membawa masuk bintang Borussia Dortmund dan Inter Milan itu.

Goal melaporkan, Chelsea dikatakan sudah menghubungi ejen kedua-dua pemain terbabit di perbelanjaan perpindahan dijangka melebihi £200 juta.

Namun, ia pasti bukan tugas mudah buat Chelsea untuk mendapatkan Haaland kerana beliau merupakan tonggak utama buat Dortmund pada musim ini setelah meledakkan 41 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Dortmund juga sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan menjual pemain bintang tersebut pada tahun ini.

Sementara itu, masa depan Hakimi yang bernilai £68.8 juta itu masih lagi belum dapat dipastikan dan dia turut dikatakan menarik minat gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Ejen beliau, Alejandro Camano bagaimana menafikan ada perbincangan dilakukan bersama PSG tetapi memberikan gambaran bahawa sukar buatnya untuk membicarakan adakah pemain kelahiran Madrid itu mampu terus kekal bersama Inter Milan.

Hal ini pasti ada kaitan dengan langkah penjimatan yang cuba dipraktikkan pengurusan tertinggi kelab tersebut untuk menjual beberapa pemain utama yang membantu Nerrazzuri menjuarai Serie A musim ini.

Inter dikatakan lebih rela kehilangan Hakimi berbanding Romelu Lukaku yang mana The Blues juga sebelum ini mengintai penyerang berbisa tersebut.

Mungkin ini peluang terbaik buat Chelsea untuk merekrut Achraf Hakimi yang mampu menjadi tambahan hebat buat kelab dari London itu. – MalaysiaGazette