KUALA LUMPUR – Jumlah pergerakan kenderaan di ibu negara masih dalam kadar yang tinggi meskipun sudah 11 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh Fasa 1 dikuatkuasakan.
Keadaan ini disebabkan sebilangan warga kota yang berada dalam sektor dibenarkan untuk beroperasi masih keluar bekerja selain menjadi lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim,
“Untuk PKP 3.0 pihak polis berpandangan tahap pematuhan warga Kuala Lumpur telah meningkat naik maknanya mereka akan kekal duduk di rumah kecuali mempunyai hal kecemasan di luar.
“Mereka juga hanya keluar dengan kebenaran yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib yang telah diberi kuasa atau polis.
“Namun di Kuala Lumpur yang dikategorikan sebagai satu daerah pentadbiran kerajaan, kita dapati akan terus ada pergerakan kenderaan disebabkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ketika ini sedang aktif dalam usaha untuk memvaksin warga kota.
“Selain itu, turut menjadi lokasi empat PPV berskala besar,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Azmi, jika sebelum ini sebanyak 300 hingga 400 kompaun dikeluarkan dalam masa satu hari namun kini jumlah tersebut semakin menurun sehingga 50 peratus.
Namun menurut Azmi, masih terdapat warga kota yang leka dan mengambil mudah mengenai prosedur operasi standard (SOP).
“Kalau tanya saya, tidak ada kompaun barulah tahap pematuhan 100 peratus tapi masih ada warga KL yang leka dah ambil mudah, rasa orang lain kena dia tak kena.
“Kebanyakan kesalahan biasanya membabitkan tidak memakai pelitup hidung dan mulut selain tidak menjaga penjarakan fizikal.
“Sampai tahap kita tidak lagi mengeluarkan kompaun atas sebab pematuhan sangat baik masa itu baru lah saya berpuas hati,” ujarnya. – MalaysiaGazette