Home Ekonomi Rafiz Azuan CEO baharu PIDM

Rafiz Azuan CEO baharu PIDM

KUALA LUMPUR – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) mengumumkan pelantikan Rafiz Azuan Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa dari 28 Ogos 2017.

Rafiz akan menggantikan Jean Pierre Sabourin, Ketua Pegawai Eksekutif  yang akan bersara pada 27 Ogos 2017, selepas 12 tahun menyumbang khidmat cemerlang bersama PIDM.

PIDM berkata, Rafiz berkhidmat dengan PIDM sejak tahun 2007 dan ketika ini menyandang jawatan Pengurus Besar Eksekutif.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengurus Besar, Bahagian Insurans, Penilaian dan Pemantauan Risiko.

Di bawah kepimpinan beliau, Perbadanan telah membangunkan dan melaksanakan Sistem Penilaian Risiko dan Sistem Levi Berbeza bagi ahli penginsurans.

Di peringkat antarabangsa, Rafiz adalah ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Penginsurans Deposit Antarabangsa (International Association of Deposit Insurers – IADI).

Beliau juga adalah Pengerusi Kumpulan Insurans Deposit Islam IADI yang memberi tumpuan kepada pembangunan prinsip teras bagi sistem insurans deposit Islam yang efektif.

Sebelum menyertai PIDM, Rafiz berkhidmat selama 10 tahun di Agensi Penarafan Malaysia (Rating Agency Malaysia – RAM), dengan pengkhususan dalam penarafan institusi kewangan, hartanah, serta syarikat perladangan dan pembinaan.

Rafiz merupakan lepasan ijazah dari Lancaster University, United Kingdom pada tahun 1995, dengan pengkhususan dalam Perakaunan dan Kewangan. – MalaysiaGazette