KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad mengurangkan kuasa Raja Melayu dan memecat hakim kerana mahu menjadi diktator.
Bekas Perdana Menteri itu juga mempergunakan kuasa orang Melayu selama 22 tahun pemerintahannya.
Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata, hakikatnya tanpa orang Melayu dan UMNO mustahil untuk Mahathir dapat memerintah dengan begitu lama secara kuku besi dan menjatuhkan musuh politiknya.
“Dia (Mahathir) kata dua hari lepas, dia tidak pernah mempergunakan UMNO dan orang Melayu tapi dia yang dipergunakan, itu dia kata sedangkan hakikatnya dia lah yang gunakan orang Melayu dan UMNO untuk menjadi diktator selama 22 tahun,” kata Puad semasa berucap di Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Pandan di Hotel De Palma hari ini.
Jelas Puad, dua tindakan yang diambil oleh Mahathir dalam campur tangan institusi kehakiman negara pada tahun 1988 dan meminda Perlembagaan pada tahun 1993 untuk mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu sudah cukup menjadi bukti menunjukkan kediktatoran beliau selama menjadi perdana menteri.
“Tanpa orang Melayu dan UMNO dia tidak akan mampu nak memecat Ketua Hakim Negara dan lima hakim Mahkamah Tinggi.
“Dia menggunakan UMNO untuk mempertahankan dia, membela dia, dia menggunakan orang Melayu dan UMNO untuk meminda Perlembagaan supaya kuasa Raja dikurangkan.
“Kenapa kuasa Raja dikurangkan? Kerana dia ingin menjadi diktator. Kenapa hakim mesti dipecat? Kerana dia ingin menjadi diktator,” katanya lagi.
Oleh sedemikian, Puad menggesa supaya orang Melayu dan ahli UMNO tidak terpedaya dengan kenyataan Mahathir yang mengatakan beliau dipergunakan oleh parti dan orang Melayu sepanjang menjadi perdana menteri sebelum ini.
“Sebab itu puteri sekalian, bila dia mengatakan bahawa bukan dia yang menggunakan Melayu dan UMNO, bayangkan sebenarnya dia lah yang menggunakan Melayu dan UMNO untuk boleh berkuasa selama 22 tahun dan mengamalkan kroni kapitalism,” ujarnya.
Beliau juga menasihati ahli UMNO tidak mudah memberikan bersimpati dengan Dr Mahathir, walhal secara terang-terangan niatnya mahu menghancurkan parti keramat orang Melayu itu.
“Jangan kita ada rasa tak boleh sentuh Mahathir, itu tidak boleh sebab dia keluar parti dan bukan sahaja keluar parti dia tubuh parti baharu kerana nak menghancurkan UMNO, itu pun kita nak kata tak boleh.
“Legasi adalah legasi, tapi apabila dia secara terbuka bukan sahaja keluar parti menubuhkan sebuah parti guna nama pun hampir sama dengan UMNO, baju pun baju merah sama macam kita, tujuannya apa, tujuannya nak curi ahli UMNO dan menghancurkan UMNO, tidak boleh,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette