Home Pendapat Jarum halus LGBTQ+ melalui permainan

Jarum halus LGBTQ+ melalui permainan

LEGO menjual set permainan ‘Everyone Is Awesome’ bagi memperingari bulan komuniti LGBTQ+ di pasaran Malaysia.

MUTAKHIR ini, syarikat permainan ternama di dunia, LEGO telah mengumumkan
penjualan set 40516 ‘Everyone Is Awesome’ bagi menyambut dan memperingati
‘Pride Month’ iaitu bulan komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender and queer
(LGBTQ+).

Set permainan ini dilancarkan secara rasmi pada 1 Jun 2021 termasuk di Malaysia.
Berita ini turut dilaporkan oleh akhbar Malay Mail pada 21 Mei yang lalu dan telah
disahkan oleh bahagian pemasaran LEGO.

LEGO mempunyai peminatnya yang tersendiri, bukan sahaja daripada kalangan
kanak-kanak serata dunia, malah turut menjadi koleksi bagi golongan dewasa.
Kebanyakan daripada mereka menjadikan LEGO sebagai koleksi peribadi mereka
kerana LEGO sering mengeluarkan set permainan dengan pelbagai tema yang
menarik.

Melalui artikel Malay Mail, turut dilaporkan bahawa set ‘Everyone Is Awesome’ ini
didatangkan dengan sebelas mini figura monokrom yang berasaskan warna pelangi
mewakili warna bendera LGBTQ+.

Dalam set tersebut turut dimuatkan figura yang berwarna biru lembut, putih dan
merah jambu bagi mewakili golongan transgender. Manakala warna hitam dan coklat
(perang) ditambah bagi mewakili kepelbagaian golongan LGBTQ+.

Usaha besar-besaran pendokong LGBTQ+ dalam menormalisasikan gaya hidup ini
kepada anak muda amat canggung daripada nilai agama Islam dan budaya ketimuran. Usaha ini bukanlah yang pertama melibatkan syarikat besar seperti LEGO.

Malah pada tahun 2017, syarikat animasi terkemuka iaitu The Disney Channel yang
bernaung di bawah The Walt Disney Company menyiarkan aksi bercumbuan
sesama jantina dalam rancangan Star vs The Forces of Evil.

Dalam filem Beauty and The Beast pula, unsur homoseksualiti turut ditayangkan
seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Huffington Post.

Gejala sosial dan perlakuan sumbang semakin membarah dalam kalangan
masyarakat kita pada hari ini.

Tambahan pula, terdapat sebahagian pendokong golongan tertentu yang begitu
agresif menyebarkan dakyah mereka dan memasarkan perjuangan mereka atas
dasar kepentingan hak asasi manusia dengan apa cara sekalipun sehingga mereka
perlu diterima dan diiktiraf masyarakat.

Hak asasi manusia menurut neraca Islam amat berbeza dengan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh golongan LGBTQ+. Rata-rata kelompok liberal menjustifikasi hak asasi manusia sebagai kedaulatan, kebebasan dan kepentingan individu yang bersifat mutlak serta diangkat melebihi kepentingan sejagat.

Dengan kefahaman ini, maka lahirlah corak kehidupan manusia yang tandus nilai
moral dan menjatuhkan kehormatan manusia sebagai hamba dan khalifah di muka
bumi.

Islam meletakkan hak asasi manusia dengan melindungi maruah dan menegakkan
hak-hak yang sesuai dengan fitrah seorang insan sebagai seorang hamba dan
khalifah di samping merangkumi segala aspek kehidupan.

Penghormatan dan kemuliaan manusia dinilai dengan akidah yang sejahtera, akhlak
yang mantap serta nilai diri yang tinggi, bukan sekadar penampilan semata-mata.

Jadi, sebarang usaha yang menjauhkan manusia daripada Tuhan dan menjatuhkan
nilai diri sebagai seorang hamba dan khalifah, tidak patut dilihat sebagai satu bentuk
tindakan yang adil dalam menegakkan haknya sebagai seorang manusia.

Benarlah seperti apa yang disabdakan Rasulullah SAW:
“Kamu semua akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal
demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga kalau mereka masuk ke lubang
biawak sekalipun, kamu tetap akan mengikut mereka.” Kami bertanya, “Adakah
mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Sabda Nabi SAW: “Siapa lagi kalau bukan
mereka?” (Hadis Riwayat Muslim, No. 2669)

Golongan LGBTQ+ ini tidak akan pernah berhenti berusaha sehingga mereka
berjaya mempengaruhi pemikiran masyarakat dan cara hidup mereka diiktiraf
sebagai normal.

Lebih menyedihkan lagi apabila kita sebagai seorang Muslim hanya diam
membungkam dan berpangku tangan apabila melihat perkara seperti ini menular
dan meresap ke rumah-rumah kita serta masuk dengan mudah ke dalam jiwa anak-
anak kita.

Mahukah kita melihat sahaja perkara ini berlaku dan reda menerima apa sahaja
balasan Allah SWT seperti yang telah dinyatakan oleh hadis ini:
“Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka
(sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak
berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum
tersebut dengan azab.” (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 4338, Syeikh Syu’aib al-
Arnaouth – Sanad sahih)

Kesan tindakan kita hari ini bakal mencorak peradaban masa hadapan. Apakah kita mahu melihat kebejatan sahsiah ini mendarah daging dalam jiwa anak-anak kita kelak?

Menurut laporan Kementerian Kesihatan, bermula 1986 sehingga Disember 2019,
seramai 12,737 penghidap AIDS di Malaysia. Namun, jangkitan kes HIV semakin
berubah dari tahun ke tahun.

Terkini dilaporkan bahawa kes HIV yang melibatkan jangkitan hasil daripada
perhubungan songsang semakin bertambah bukan sahaja di Malaysia, malah di
seluruh dunia berdasarkan laporan daripada The Star, 29 November 2019.

Menjadi kegusaran jika perkara seperti ini dibiarkan tanpa kawalan dan pendidikan
masyarakat yang berterusan, akan menyebabkan generasi akan datang merasa
selesa dengan perkara sebegini.

Tidak dapat dinafikan, peranan sebagai ibu dan bapa pada zaman ini bukan lagi
sekadar memberi makan, pakai serta tempat berteduh kepada zuriat masing-
masing.

Namun, perisai-perisai perlulah dipasang dengan ampuh agar musuh-musuh tidak
mudah masuk dan meresap ke dalam jiwa anak-anak kita dengan mudah.
Dengan ledakan maklumat pada masa kini, penggunaan teknologi di hujung jari
memudahkan anak-anak kita menerima maklumat daripada seluruh pelusuk dunia
tanpa batasan.

Tanpa pegangan agama yang utuh, ilmu yang menyeluruh serta kekuatan rohani
yang mantap, anak-anak kita akan mudah terikut dengan agenda sebegini. Selain mempersiapkan anak dengan keperluan akal dan rohani, ibu bapa dan para
pendidik bertanggungjawab mencorak anak dengan nilai akhlak yang baik.

Meski kita perlu membenci kemaksiatan, namun kita tidak perlu menyemai sikap kebencian terhadap pendosa.

Kita perlu meletakkan garis batas yang jelas kepada kemungkaran, namun pada
masa yang sama golongan ini perlu didekati dengan berhikmah supaya dapat
membantu mereka kembali kepada Allah SWT.

Roselinee Mohammad Radzi & Anis Putri Hamdan
Jawatankuasa Pembangunan dan Pembelaan Kanak-Kanak
Wanita IKRAM Negeri Selangor

2 Komen

  1. Mananya kata kerajaannya melayu islam???????
    Kalau benda begini pun tak kawal bukan lah islam namanya. Syetan yang bertopengkan islam ada lah. Letak pula atas nama melayu. Jadilah melayu itu dayus macam Herwan melata dibumi.

  2. Kita pun patut mainkan peranan. Asik tunggu org lain, asik tunggu kerajaan, habis kita dok buat apa? Main game sambil makan cikedi dlm rumah ja?
    Skang zaman viral. Share berita ni ngan kawan2 suh boikot LEGO. Tu pun nak kena ajar ke?

Comments are closed.