Home Pendapat Hidup harmoni dengan alam berkonsepkan Satoyama

Hidup harmoni dengan alam berkonsepkan Satoyama

Konsep Satoyama di perkampungan di Jepun. Gambar hiasan

SEMPENA Hari Alam Sekitar 2021 pelbagai isu pemeliharaan, pemuliharaan dan
kelestarian alam sekitar kerap dibangkitkan.Pelbagai cadangan dan penambahbaikan alam sekitar diutarakan saban hari.Dengan pelbagai jenis undang-undang dan peraturan yang sedia ada dan dicadangkan, namun adakah hasilnya seperti yang didambakan?

Penulis teruja melihat sebuah perkampungan kuno di Tasik Biwa yang saiznya lima
kali bandar Paris, Peranchis, yang terletak di Kyoto, Jepun di mana ialah merupakan
antara salah satu taman air yang rahsia di Jepun.Kampung ini dibina dengan menjadikan mata air dan air sebagai sebahagian dari kehidupan mereka. Kelihatan kampung ini seperti kampung air juga perkampungan yang bersawah seperti di Kuala Pilah dan seumpamanya di Malaysia.Pemandangan kaki gunung atau bukit ini indah, kelihatan tidak terusik dek pembangunan.

Kampung ini disebut sebagai Satoyama iaitu bermaksud desa di kaki gunung.Satoyama juga adalah simbol dari gaya hidup Jepun yang memberi fokus tentang hidup dalam harmoni dengan alam.Ini mungkin bermaksud memajukan sumber asli alam seperti sungai, laut dan mata air tanpa merosakkan sumber asli tersebut.Kelihatan ikan-ikan berenang dengan bebas dan ikan-ikan tersebut boleh ditangkap untuk dijadikan sumber makan harian seperti sushi tanpa perlu membeli ikan di pasar.Dikatakan terdapat beza
rasanya antara ikan yang liar dengan ikan yang dibela di sangkar.

Pemandangan juga kehidupan tenang di kampung Tasik Biwa, Koyoto tersebut boleh
dilihat di negara-negara lain dunia seperti di kaki gunung Alps di Switzerland, New Zealand , Austria, Itali dan sebagainya. Malaysia juga tidak kurang hebatnya dengan keindahan asli sebegini yang boleh dilihat dalam perjalanan dari Ranau ke Kota Belud dengan sungai yang sungguh bersih dan ikan-ikan yang besar, liar berenang-renang dengan gembira hinggalah musim menangkap ikan dibenarkan. Inilah alam sekitar kurniaan semulajadi Allah diberikan kepada rakyat Malaysia, terpulang kepada kita samada kita menghargainya atau tidak.

Saya pernah ditanya oleh penjual ikan dan kentang goreng di sebuah perkampungan
desa Inggeris di England tentang negara Malaysia. Menurut beliau melalui pembacaan juga media, Malaysia adalah sebuah negara yang berhutan. Jadi apakah antara hasil utama negara? Saya dengan bangga mengatakan ya negara kami mungkin masih banyak lagi hutan belantara tetapi, negara kami mengeksport kereta. Dikatakan kereta Malaysia sama ada Proton atau Perodua agak diminati orang England kerana bersaiz kecil yang cukup untuk keluarga mereka yang kebanyakan kecil juga.

Manakala rakyat kita lebih gemar membeli kereta Jepun bagi memuatkan penumpang yang ramai kerana ramai juga penduduk kita yang mempunyai bilangan jumlah keluarga lima dan ke atas. Berbalik kepada isu alam sekitar di Malaysia, di mana menjaga alam sekitar juga dikatakan menjadi salah satu kepentingan syariah.Menurut pandangan liberal, alam sekitar itu seperti satu benda. Tetapi mengikut mereka yang beragama, terdapat tatacara juga etika terhadap alam sekitar.Dikatakan tumbuhan juga haiwan juga
bertasbih memuji Ilahi, oleh itu alam sekitar tidak seharusnya dipandang remeh dan
diperlakukan sewenang-wenangnya.

Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan demi kelangsungan alam sekitar, selain isu-isu hangat seperti jerebu, pencemaran udara,pembalakan haram, tanah runtuh, pertanian komersial yang merosakkan tanaman asal dan sebagainya. Pertamanya ialah landskap negara yang semulajadi kaya perlu dibangunkan juga dimajukan sepenuhnya demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat secara umumnya juga penduduk tempatan secara khususnya. Sebagai contoh semua taman-taman semulajadi yang sedia ada seperti taman yang mempunyai tasik, hutan, bukit dan sebagainya perlu dibangunkan agar menjadi tempat riadah dan rekreasi rakyat sebagai contoh untuk berjalan kaki, berlari dan sebagainya.

Malangnya ada banyak lagi tempat semulajadi yang cantik tetapi tidak dimajukan, masih berhutan, tidak diwujudkan laluan pejalan kaki, juga tasik atau sungai yang dibiarkan kotor. Disarankan setiap pekan kecil perlu ada tempat rekreasi bagi masyarakat setempat
beriadah.Ini boleh menggalakkan rakyat Malaysia menjaga kesihatan untuk bersenam. Sementalahan lagi aktiviti ini berfaedah bagi memproses juga membuang lemak juga kandungan gula yang tinggi dalam makanan harian rakyat Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik.Ini seperti serampang dua mata bagi menjaga alam sekitar juga menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Apabila bersenam, maka hormon endorfin akan dilepaskan, jadi darjah kegembiraan rakyat akan bertambah Mungkin pada masa akan datang, satu kajian bagi meningkatkan kadar kegembiraan rakyat jika terdapat taman rekreasi perlu diwujudkan bagi mengesahkan kebenaran cadangan tersebut.Maka akan berkuranglah isu-isu sosial
dan mental yang semakin meningkat kini.Aktiviti ini juga berupaya mengajak rakyat
ke luar rumah kelak apabila habis PKP ,dari menghabiskan masa membawang di
laman sesawang.

Keduanya, sikap juga tabiat terhadap alam sekitar juga kempen kesedaran perlu diwujudkan.Seorang rakan Jepun apabila tinggal di rumah saya sangat terkejut melihat saya membuang sahaja minyak terpakai ke dalam longkang seolah-olah saya melakukan salah besar.Dengan cermat Akiko melupuskan minyak tersebut di dalam golongan tisu yang besar.Oleh itu saya mencadangkan agar kempen kitar semula perlu diperhebatkan dan diberikan kemudahan seperti tong-tong kitar semula secara percuma .Saya melihat govenan alam sekitar sering dibuat secara perintah dan kawal, yang menurut hemat saya bukanlah cara terbaik dalam pengurusan alam sekitar.

Sebagai contoh memaksa orang mengitar semula dan meletakkan denda Seharusnya tong kitar semula diberikan secara percuma untuk setiap isi rumah dan diajar bagaimana mahu kitar semula.Pendidikan kesedaran alam sekitar bermula dari yang mudah seperti jangan buang sampah merata-rata yang menjadikan penduduk sesetengah negeri mendapat jolokan ‘darul sampah’ dan mengajar golongan muda untuk menghargai alam. Dengan demikian, rakyat akan selalu berfikir tentang manusia dan alam yang tidak boleh dipisahkan tetapi hidup harmoni bersatu.

Konsep Satoyama ini jika difahami, dihayati dan diamalkan mungkin boleh
memelihara banyak kampung-kampung lama di negara kita demi kelestarian alam
sekitar, dan bukannya dijadikan satu promosi komersial rumah kampung yang
mewah di lereng bukit yang harganya mungkin naik mencanak jutaan ringgit. Ini
mungkin lari dari tujuan asal memelihara alam sekitar dan penduduk asal kampung
tersebut. Mungkin dana dari awam juga sekarelawan perlu dalam menjayakan misi
tersebut.

Dr. Noor Dzuhaidah Osman
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia &

Dr. Suraya Abdul Sani
Pensyarah Kanan,Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah