PUTRAJAYA – Tempoh masa 60 puluh tahun memenuhi peranan raja berperlembagaan telah memberikan kematangan pengalaman kepada Raja-Raja Melayu mengenai peranan takhta terhadap negara dan warga.
Justeru Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, raja di negara ini tidak lagi sekadar pelengkap memenuhi adat, negara beraja dan rakyat bersultan.
Jelas baginda juga, raja bukan sekadar simbol untuk melaksanakan tugas-tugas keraian semata-mata.
“Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku tanpa nyawa tanpa jiwa. Raja-Raja tidak daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan.
“Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan dan pendengaran Raja-Raja.
“Pandangan berterus terang Raja-Raja dalam perkara-perkara berkaitan agama Islam, Bahasa Kebangsaan, perpaduan warga, kebebasan kehakiman, rasuah, salah guna kuasa, dan pelbagai lagi, tercetus daripada hasrat untuk memastikan negara terus stabil dan aman, warga terus sejahtera dan makmur,” titahnya ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Hotel Marriot Putrajaya di sini hari ini.
Konvensyen tersebut adalah anjuran Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU), Majlis Dakwah Negara.
Titah Sultan Nazrin lagi, selaras dengan semangat raja berperlembagaan, peranan Raja adalah memerintah, bukan mentadbir, tetapi bertanggungjawab mengawasi dan memastikan berlakunya pentadbiran yang adil lagi saksama, teratur lagi telus.
“Demi memastikan takhta dihormati, raja wajib bersifat berkecuali, memisahkan diri daripada terlibat dalam sebarang kancah pertelingkahan politik kepartian dan menjauhkan diri daripada dijadikan instrumen untuk kepentingan mana-mana pihak.
“Raja hanya terlibat pada waktu dan ketika yang diperlukan,” titahnya.
Sultan Nazrin turut menegaskan, amatlah tidak munasabah jika jawatan Ketua Utama Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong diwujudkan sekadar untuk menyempurnakan tugas-tugas istiadat atau dianggap boneka untuk menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembahkan, dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat.
Malah titah baginda, diwajibkan pula tanpa opsyen memberi sepenuh perkenan tanpa soal atas apa juga nasihat yang diangkat sembah kepada Baginda, apatah lagi jika nasihat tersebut menyimpang daripada undang-undang atau tergelincir daripada landasan keadilan atau berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara bangsa.
“Raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, menyimpang daripada semangat Perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat, hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman.
“Apabila Raja dirujuk, Duli-Duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih; dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-Duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbangtaraan yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, demi memastikan terlaksana secara bermakna mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan amalan demokrasi yang telus,” titah Sultan Nazrin lagi. – MalaysiGazette