Home Nasional Lima lokaliti Sabah, Sarawak dikenakan PKPD

Lima lokaliti Sabah, Sarawak dikenakan PKPD

Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tabuan Haji Drahman, Kuching, Sarawak berkuat kuasa 15 Jun sehingga 28 Jun ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tabuan Haji Drahman, Kuching, Sarawak berkuat kuasa 15 Jun sehingga 28 Jun ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, PKPD akan turut dilaksanakan di Batu 3.5 Jalan Apas (Kiri), Tawau dan Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu, Sabah bagi tempoh yang sama.

Jelas beliau, dua lokaliti di daerah Tuaran di Sabah juga dikenakan PKPD berkuat kuasa 15 sehingga 28 Jun ini.

“Kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud, Sabah atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia bermula tarikh sama.

“Pelaksanaan semua PKPD ini bagi memastikan penduduk yang berisiko kekal berada dalam kawasan PKPD dan menyekat pergerakan serta penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri menambah, PKPD juga dilanjutkan di Taman Pelangi, Semporna, Sabah yang dijadualkan tamat esok.

Kata beliau, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di kawasan itu sehingga 28 Jun ini.

Menurutnya, turut dilanjutkan PKPD adalah Kampung Tanjung Kapor, Kudat, Sabah dijadualkan tamat pada 14 Jun 2021 dan disambung sehingga 28 Jun 2021 ini.

“Kerajaan juga bersetuju menamatkan awal PKPD di Jalan Klias 2 dan 3, Beaufort, Sabah yang dijadualkan tamat pada 15 Jun ini kepada esok. Turut ditamatkan PKPD lebih awal adalah Kampung Kuala Menggatal, Kota Kinabalu di Sabah,” katanya.

Ismail Sabri memberitahu, PKPD di Kampung Assam, Lahad Datu, Sabah pula tamat seperti yang dijadualkan. – MalaysiaGazette