KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori melecur tangan kiri dalam kejadian kebocoran gas oksigen di Blok Kejuruteraan Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, mangsa dihantar ke unit kecemasan hospital tersebut untuk rawatan.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira 6 petang itu dipercayai akibat paip penyambungan lori tangki berkapasiti 7,000 liter yang membawa bekalan mengalami kebocoran semasa mengisi bekalan gas oksigen ke tangki HKL.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya yang menerima panggilan mengenai kejadian itu telah menggerakkan sekumpulan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa serta BBP Jalan Tun Razak.
Katanya, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati kepulan asap putih memenuhi luar bangunan blok kejuruteraan HKL.
Bagaimanapun, anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah berjaya menutup paip penyambungan itu dan kerja-kerja pembersihan dilakukan. – MalaysiaGazette