Home Nasional Usaha jadikan BM medium perpaduan masih gagal – Kok Seong

Usaha jadikan BM medium perpaduan masih gagal – Kok Seong

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr.Teo Kok Seong berucap pada Sesi Penyampaian dan Dialog Menyurat Wasiat Yang Tersirat di Hotel Marriott, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI 5 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Usaha menjadikan faktor bahasa sebagai medium perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia masih lagi gagal berbanding di Indonesia dan Thailand.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, buktinya, polarisasi kaum masih wujud secara nyata di negara ini.

Katanya, pelajar-pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) rata-rata hanya fasih berbahasa Mandarin berbanding bahasa Melayu dan Inggeris dengan alasan golongan itu terbeban kerana terpaksa mempelajari tiga bahasa pada usia muda.

“(Bagaimanapun) Bahasa Melayu adalah bahasa negara, mana mungkin ia tidak dikuasai? Apa erti kerakyatan yang dipegang itu?

“Kalau kita tidak fasih, bagaimana kita hendak berkomunikasi? Penguasaan bahasa Melayu akan membawa kepada kefasihan. Sebagai warganegara, kita perlu ada pengetahuan yang baik terhadap bahasa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penyampaian dan dialog sempena Konvensyen Memperkukuhkan Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di sini hari ini.

Konvensyen dua hari anjuran Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU)-Majlis Dakwah Negara adalah bagi membuka ruang wacana tentang peranan institusi Raja menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negara, berperanan sebagai payung penyatuan dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, kerajaan sejak 60 tahun lalu telah berusaha menjayakan aspirasi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan terutama menerusi Laporan Razak.

Selain itu, katanya, kerajaan bercadang memperkenalkan beberapa kaedah bagi menangani ketidakfasihan bahasa itu melalui penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) subjek bahasa Melayu serta penyeragaman sukatan pelajaran di sekolah kebangsaan dan SKJC.

“Malangnya, cadangan itu dibantah oleh masyarakat bukan Melayu,” katanya.

Cadangan itu juga dilihat dapat menangani masalah pelajar SKJC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menjadi seperti ‘rusa masuk kampung’ apabila memasuki sekolah menengah.

Jelas beliau, negara yang membenarkan penggunaan satu bahasa sahaja sebagai bahasa utamanya, negara itu didapati muda mengurus perpaduan rakyatnya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan dari kalangan peserta, Kok Seong mencadangkan agar semua warganegara Malaysia wajib menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam apa keadaan sekali pun.

“SPM adalah penting dan bukan sekadar penilaian akademi tetapi sebagai sebahagian daripada pembentukan negara bangsa. Tiga subjeknya iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral memiliki asas bagi pembentukan negara bangsa serta jati diri rakyat Malaysia,” katanya.
– MalaysiaGazette