KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) Selangor menggesa Perdana Menteri menyegerakan Pelan Pemulihan Negara yang dilihat berjalan begitu perlahan sejak kerajaan menguruskan Covid-19 awal tahun ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Azhari Shaari berkata, kerajaan perlu melakukan perancangan holistik melibatkan semua pihak bagi memastikan pelan pemulihan memberi impak positif khususnya ekonomi negara.
“Lebih setahun Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara. Bukan mudah untuk mentadbir dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat.
“Apa yang menjadi isu dalam kalangan rakyat apabila Kerajaan PN baru hendak memulakan Pelan Pemulihan Ekonomi pasca Covid-19.
“Ini kerana rakyat semakin bimbang jika bencana ekonomi seiring dengan bencana Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pelan Pemulihan Negara hanya akan berhasil sekiranya semua pihak meliputi rakyat dan kerajaan berganding bahu untuk mencari jalan keluar daripada pandemik.
Menurut Perdana Menteri, jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan pelan itu, tidak mustahil Malaysia akan mencapai imuniti kelompok lebih awal dari tempoh ditetapkan.
Azhari melahirkan rasa hairan sehingga kini kerajaan masih tidak mengumumkan sebarang pelan jangka panjang bagi memastikan rakyat peluang pekerjaan dan punca pencarian rakyat terjamin.
“Walaupun sebelum ini pelan bantuan untuk rakyat ada disalurkan namun rakyat masih tertanya-tanya pelan jangka panjang untuk memastikan rakyat mempunyai pekerjaan dan sumber rezeki.
“Beribu-ribu graduan dilahirkan sepanjang setahun lebih ini, namun siapa yang hendak mengambil mereka bekerja di saat perang melawan pandemik belum selesai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette