Home Utama PM garis 4 prinsip pembangunan modal insan

PM garis 4 prinsip pembangunan modal insan

Gambar viral menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menaiki kereta yang dipandu oleh Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada majlis perasmian Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman Kampus Cawangan Pahang di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat dimensi dan prinsip untuk mencapai pembangunan modal insan secara holistik bagi menjamin perkembangan ekonomi mampan di negara ini.

Beliau berkata prinsip pertama adalah memastikan seramai mungkin rakyat mempunyai tahap pendidikan dan kemahiran yang tinggi bagi membolehkan mereka memenuhi kehendak industri dan sektor pekerjaan di negara ini.

Yang kedua, katanya kerajaan mahu melihat pendapatan rakyat terus bertambah dengan meningkatkan kemahiran sedia ada kerana mereka yang berkemahiran tinggi akan menjana pendapatan lebih baik berbanding pekerja biasa.

“Jika hendak dibandingkan pendapatan seorang pekerja mahir dengan pekerja separa mahir sudah tentu pendapatan pekerja mahir lebih tinggi, begitu juga pendapatan seorang doktor biasa dengan doktor pakar tentu doktor pakar lebih tinggi.

“Jadi sebagai sebuah kerajaan kita mahukan pendapatan rakyat terus meningkat dengan meminta mereka menambah kemahiran sedia ada,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman Kampus Cawangan Pahang di Indera Mahkota, di sini, hari ini .

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman merangkap Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Selain itu, Najib berkata kerajaan turut memberi peluang sama rata kepada masyarakat bandar atau luar bandar, kaya atau miskin, atau mana-mana kumpulan etnik untuk meningkatkan tahap sosial ekonomi mereka.

“Sekiranya mereka ada kehendak untuk mencapai kejayaan, kerajaan patut sediakan peluang dan satu-satunya kekangan adalah sama ada anda mempunyai cita-cita atau usaha untuk berjaya,” katanya.

Menurut Najib, prinsip terakhir pula memastikan generasi murid dan pelajar pada masa kini bersedia dengan kemahiran untuk mengisi jawatan atau pekerjaan pada masa depan, yang masih belum wujud pada masa kini seperti teknologi robotik dan teknologi nano.

“60 peratus kerja di masa depan masih tidak wujud pada masa ini. Tetapi kita perlu bersedia supaya mereka (generasi muda) dapat mengisi dan memenuhi keperluan kerja itu kelak. Ini merupakan perubahan drastik yang berlaku di dunia termasuk di Malaysia.

“Sebab itu kenapa kami sebagai kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan lebih tinggi untuk menyediakan akses lebih baik dalam pendidikan tinggi,”katanya

Untuk tujuan itu, Najib berkata semua insitusi pengajian tinggi di negara ini termasuk universiti berstatus penyelidikan perlu memastikan mereka berada dalam senarai kelompok universiti terbaik di dunia.

“Mengikut laporan universiti dunia, lima universiti penyelidikan kita berada dalam kelompok 300 terbaik dunia, maknanya satu peratus terbaik dunia.

“Kedudukan Universiti Malaya (UM) juga telah meningkat 19 anak tangga ke tangga 114 dan saya telah beri petunjuk prestasi utama (KPI) kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan menterinya untuk melihat UM menduduki tangga 100 universiti terbaik dunia pada tahun hadapan,” katanya.

Dalam masa yang sama, perdana menteri turut mengingatkan semua universiti di negara ini akan pentingnya meningkatkan taraf mereka menjadi universiti antarabangsa termasuk dengan memudahkan pengambilan pelajar luar negara.

Najib berkata Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman Kampus Cawangan Kuantan yang dibina di tapak seluas enam hektar itu bakal memberi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan kos berpatutan.

Kolej universiti itu yang dibina dengan kos RM45 juta mampu memuatkan 3,000 pelajar dalam satu masa dan dilengkapi dengan kemudahan moden termasuk kolam renang bersaiz olimpik, gimnasium, gelanggang futsal dan bola keranjang.

Kampus itu menawarkan kursus diploma dalam bidang perakaunan, pentadbiran perniagaan, kejuruteraan sistem maklumat dan bakal menyediakan bidang pengajian berteknologi tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang seperti teknologi kereta api.- BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.