TENTU kita mahukan bebas; bebas bergerak ke sini sana, berkumpul bersama-sama
keluarga, melakukan aktiviti dengan sahabat, rakan sekerja, berlibur dalam negeri dan luar negara, sambil meneroka suasana yang dihamparkan-Nya. Ya, bebas seperti sebelum
‘kehadiran’ Covid-19 di muka bumi ini.
Sudah setahun lebih kita tidak dapat melakukan semua itu! Dan yang pasti segalanya itu
tetap ada dalam ‘angan-angan’ percuma sesiapa pun, mahu bebas menjelajah ke mana-
mana setelah pandemik ini berlalu.
Kerana peningkatan angka-angka yang mencemaskan itu, sekali lagi kita terpaksa duduk di rumah yang dinamakan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Malaysia 2020, yang juga disebut sebagai PKP atau MCO, merujuk kepada tindakan pencegahan yang
dilaksanakan oleh kerajaan terhadap wabak koronavirus (Covid-19) yang kita lalui sejak 18 Mac 2020 lalu.
Pelbagai suara dan omelan rakyat yang tidak menyetujui, hinggalah yang sedar tindakan itu perlu dilakukan lebih awal lagi oleh pihak kerajaan, maka sekali lagi pada hari 1 Jun 2021, kita terpaksa mendepani PKP 3.0.
Ramai yang gusar dengan tindakan yang dilaksanakan itu berikutan pihak kerajaan tidak
berjaya memberikan keyakinan yang rasional kepada rakyat terutama sekali mereka yang
putus pendapatan serta bekalan keperluan harian dan makanan.
Siapa yang tidak risau, apalagi mereka yang memang kerjanya ‘kais pagi makan pagi dan
kais petang makan petang’ tentu sangat terkesan dengan arahan yang dikeluarkan ini.
Ramai yang akan terkesan dengan pelaksanaan ini terutamanya kepada golongan B40 dan M40.
Mungkinkah, Bantuan PKP 3.0 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang telah bersiaran secara langsung di rangkaian TV melalui perutusan khasnya itu memberi kelegaan kepada rakyat?
Kita lihat nanti apa kata mereka yang terlibat.
Seriuslah menghadapi ‘perang’ 14 hari
Usaha dilaksanakan PKP ini, wajarnya kita semua akur bagi mengurang atau mensifarkan
kes Covid-19, di negara ini. Ikuti segala arahan dan duduklah di rumah agar rantaian virus itu dapat dihentikan, insya-Allah.
Empat belas hari adalah ‘peperangan’ kita untuk menghapuskannya. Selain diiringi doa dan harapan kepada yang Maha Esa, teruslah kita ikuti segala SOP yang ditetapkan pihak
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dengan masa yang dipenuhi di rumah ini, maka ambillah peluang melakukan aktiviti yang
baik dan berfaedah agar waktu tidak terbuang begitu saja. Sebagaimana melihat PKP
pertama dulu, rakyat Malaysia memenuhinya dengan kreativiti yang menarik seperti
memasak, membaca, bercucuk tanam serta aktiviti lainnya.
Sebaiknya di setiap rumah orang Islam digalakkan melaksanakan solat berjemaah dan
bacaan al-Quran sebagai penguat kesejahteraan dalam keluarga. Hakikatnya banyak
perkara boleh dilakukan sepanjang PKP 14 hari ini.
Keprihatinan terhadap jiran tetangga dan masyarakat sekitar adalah sesuatu yang sangat
perlu. Boleh jadi jiran di sebelah rumah kita memerlukan bekalan makanan atau bantuan
emosi, maka segeralah kita menghubungi pihak yang sewajarnya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi.
Tentunya kita tidak banyak masa untuk melakukan semua ini sendiri, melainkan
memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk berjaya menangani ujian ini.
Maka, jangan diabaikan perjuangan barisan hadapan yang sentiasa bersiaga dengan
sebarang kemungkinan. Begitu juga kita sebagai rakyat perlu memberikan komitmen yang selayaknya untuk sama mensifarkan pandemik ini.
Ayuh, kita lakukan dengan sesungguhnya!
Atriza Umar
Pegawai Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia