MERSING – Pelajar tunggal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mersing yang memperolehi semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, Noor Fakrullah Eiman Mohd Noor berhasrat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan sekiranya ada tajaan daripada mana- mana pihak.
Mesra dengan panggilan Fakhrul, remaja cemerlang ini tidak menjadikan pandemik Covid-19 sebagai penghalang untuk mendapatkan keputusan terbaik yang menjadi sasarannya.
“Memang tak dinafikan belajar bersemuka jauh lebih berkesan daripada dalam talian namun semuanya terletak dalam diri pelajar itu sendiri kerana yang bakal mengambil peperiksaan adalah kita, bukan cikgu.
“Saya berusaha sendiri dan saling berhubung dengan guru untuk mendapatkan tunjuk ajar apabila ada keperluan kerana belajar dalam talian tak mencapai apa yang saya hendak.
“Maka jalan terbaik, saya hubungi guru-guru terbabit untuk bertanya apa sahaja yang saya hendak dan alhamdulillah, kerjasama daripada guru-guru yang mengajar saya sangat komited dan sentiasa membantu.
“Bohonglah kalau kata saya tak menghadapi tekanan sepanjang belajar dalam talian ekoran masalah Covid-19 tetapi saya tidak pernah berputus asa demi mendapatkan keputusan cemerlang selain menaikkan nama sekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Siapu, di sini, baru-baru ini.
Jelas anak keenam dari tujuh beradik ini, kehidupan susah keluarga juga antara faktor utama yang mendorong dirinya untuk menjadi yang terbaik dalam sudut akademik.
Ibunya, Norsamsina Mohamad bekerja sebagai buruh am di sebuah sekolah agama manakala ayahnya, Mohd Noor Ali hanya bekerja sendiri di kampung.
Berbekalkan RM2 sehari, Fakhrul tidak sesuka hati berbelanja di sekolah sebaliknya membawa bekalan yang disediakan ibunya setiap hari walaupun berlaukkan telur goreng.
Bercerita tentang minatnya untuk menjadi seorang doktor, tanpa silu, Fakhrul memberitahu pelajar terbaik Malaysia, Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17 A1 dalam SPM 2004 sekaligus mencipta sejarah negara sering dijadikan contoh untuk menjadi pelajar terbaik.
“Saya sering mengikuti perkembangan Nur Amalina yang sangat cemerlang dalam pelajaran sehingga telah pun bergelar doktor pakar di luar negara.
“Walaupun keputusan saya tak sebaik keputusan dia, namun saya bercita-cita untuk menjadi seperti dia yang saya sifatkan antara yanh sangat hebat dalam bidang akademik bagi generasi muda seperti saya.
“Maka kerana itulah saya berharap ada pihak yang sedia menaja saya untuk meneruskan cita-cita saya dalam bidang perubatan di luar negara sekiranya ada peluang,” jelasnya yang amat meminati mata pelajaran matematik dan kimia ini.
Buat masa ini, Fakhrul telah pun memohon kemasukan ke universiti tempatan melalui permohononan UPU.
Tambah Fakhrul lagi, sebagai pelajar dari sekolah luar bandar, kemudahan yang ada disifatkan sangat terhad terutama dari sudut talian internet yang ada ketikanya mengganggu konsentrasinya.
“Saya bangun belajar pada pukul 4 atau 5 pagi bagi memastikan talian internet tidak tergganggu kerana pada waktu begitu talian biasanya tidak sibuk.
“Alhamdulillah, berkat doa ibu ayah dan guru- guru di sekolah, saya berjaya mengharungi kepayahan itu dan inilah hasilnya.
“InsyaAllah, sekira saya diberi peluang meneruskan cita-cita saya untuk menjadi seorang pakar perubatan, saya berjanji akan melakukan yang lebih baik daripada sekarang,” ujarnya sambil mencium ibu tersayang yang berada di sampingnya.
Pada keputusan SPM 2020 yang diumumkan Khamis lepas, Fakhrul merupakan satu-satunya pelajar SMK Mersing yang memperoleh semua A dalam 10 mata pelajaran yang diambil dengan pecahan 6A+ dan 4A. – MalaysiaGazette