Home Nasional Kes pinjaman peribadi RM18 juta: Seorang lagi kakitangan bank direman

Kes pinjaman peribadi RM18 juta: Seorang lagi kakitangan bank direman

Seramai tujuh individu termasuk pegawai dan kakitangan bank disambung reman tujuh hari lagi bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi antara 2018 hingga 2020 ketika hadir di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 JUN 2021.

SHAH ALAM – Susulan enam individu termasuk pegawai dan kakitangan bank direman 9 Jun lalu, seorang lagi kakitangan bank pula direman tujuh hari bermula hari ini.

Ia bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi berjumlah RM18 juta antara tahun 2018 hingga tahun 2020.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Parvin Hameedah Natchiar selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor pukul 4.05 petang semalam selepas diminta hadir untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Hadir sama dengan lelaki tersebut empat peguambelanya, antaranya Mohd Syafiq, Wan Hafiz, Khairul Amin Abdullah dan Suzearitz Suhaimi.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan permohonan lanjutan reman selama empat hari bermula hari ini terhadap enam lagi individu bank yang telah direman sejak 9 Jun lalu.

Terdahulu, lelaki itu bersama enam individu berusia 36 hingga 45 tahun itu tiba di pekarangan Mahkamah Shah Alam pukul 9.48 pagi tadi dengan diiringi pegawai SPRM.

Pada 8 Jun lalu, enam lelaki berkenaan ditahan di pejabat SPRM Shah AlamĀ  selepas disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi membabitkan 110 pembiayaan peribadi bernilai kira-kira RM18 juta.

Menurut sumber, wang rasuah itu adalah sebagai balasan untuk meluluskan permohonan pembiayaan daripada pemohon yang sebenarnya tidak layak untuk membuat pinjaman.

“Mereka dipercayai meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada sejumlah 110 pinjaman pembiayaan peribadi yang bernilai kira-kira RM18 juta,” katanya.

Sumber memberitahu, pegawai dan kakitangan berkenaan bertugas di beberapa cawangan bank di sekitar Lembah Klang.

Difahamkan, SPRM juga merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM69,000 dan beberapa jam tangan mewah serta telefon bimbit dari rumah suspek di Putrajaya dan Selangor membabitkan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rasuah: 6 pegawai, kakitangan bank direman 7 hari