KUALA LANGAT – Tindakan seorang penganggur yang menyamar menjadi pegawai kanan polis dan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan ketika tampil ke IPD berkenaan semasa menemani teman wanitanya untuk membuat laporan berhubung perselisihan faham dengan rakan kongsi niaganya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh berkata, kejadian itu berlaku pukul 4 petang pada 4 Jun lalu.
Katanya, berdasarkan siasatan, teman wanita suspek berusia 39 tahun mendakwa rakan kongsinya menggunakan modal perniagaannya berjumlah RM5,000 untuk membuat pengubahsuaian di pusat latihan tanpa pengetahuannya.
“Suspek lelaki kemudiannya memperkenalkan dirinya dengan nama Shah berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur manakala teman wanita pula mendakwa dia merupakan seorang doktor perubatan di sebuah hospital swasta di Klang.
“Mereka mengarah pegawai penyiasat berpangkat inspektor menyiasat kes secara mendalam, pegawai bertugas kaunter itu mula curiga dengan tingkah laku dan perwatakan lelaki yang menyatakan nombor badannya adalah G17058 tetapi tidak menunjukkan kad kuasa ketika diminta.
“Polis bertugas bertanya sama ada suspek mengenali Ketua Polis Daerah Kuala Langat yang juga bekas Pegawai Turut D9 Kuala Lumpur dan akhirnya suspek terkejut apabila penyamarannya akhirnya terbongkar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Ahmad Ridzwan, hasil siasatan, suspek mengaku dia menyamar sebagai pegawai polis untuk memastikan laporan teman wanitanya itu disiasat dengan cepat.
Menurut Ahmad Ridhwan, semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah lampau menyamar sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman.
Ujar beliau, teman wanita suspek berkenaan turut ditahan kerana menyamar diri sebagai seorang doktor hospital swasta.
“Laporan yang dibuat oleh suspek adalah benar bagaimanapun tindakan penyamaran sebagai pegawai polis adalah salah kerana mengarahkan polis bertugas bertindak ke atas rakan perniagaan.
“Mereka bercinta lebih lima tahun dan direman selama enam hari untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Polis akan melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada timbalan pendakwaraya untuk arahan lanjut,” tegasnya.-MalaysiaGazette