Home Nasional Tiga geng kongsi gelap 08 dicekup ketika lerai komponen kenderaan

Tiga geng kongsi gelap 08 dicekup ketika lerai komponen kenderaan

Tiga anggota geng Kongsi Gelap 08 terlibat jenayah curi dan meleraikan komponen kenderaan berjaya ditumpaskan oleh pasukan JSJ IPD Kuala Langat Jumaat lalu.

KUALA LANGAT – Tiga anggota kongsi gelap 08 yang leka meleraikan komponen kenderaan dicekup polis di Jalan Ladang Telok Taman Indah, Telok Panglima Garang pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kesemua suspek berusia 29 hingga 47 tahun itu ditangkap pada jam 12.30 tengahari selepas pengintipan selama 30 minit dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

“Ketiga-tiga anggota Geng 08 ini menggunakan bengkel di belakang sebuah rumah bagi menjalankan jenayah mereka supaya tersembunyi dari pandangan awam dan elak dicekup polis.

“Siasatan awal polis mendapati bengkel tersebut telah dioperasikan oleh suspek selama dua minggu.

“Ketika serbuan didapati kesemua mereka sedang khusyuk dalam kerja meleraikan enam komponen kenderaan dengan tidak memakai pelitup muka tanpa mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya dalam sidang media yang diadakan hari ini.

Tambah beliau, polis turut merampas enam buah rangka kenderaan termasuk sebauh kereta pacuan empat roda (4WD) dan sebuah rangka motosikal yang disyaki dicuri dan dileraikan komponen oleh sindiket tersebut.

Ahmad Ridhwan berkata, kesemua rangka itu masing-masing melibatkan Proton Waja dan Iswara, Kia Spektra, Perodua Kancil, Yamaha 125Z dan 4WD jenis Tata.

Ujarnya, kenderaan itu dibeli pada harga pukal antara RM300 sehingga RM1,000 daripada seorang lagi suspek yang memainkan peranan sebagai orang tengah yang kini sedang diburu polis.

“Bagaimanapun suspek gagal menunjukkan bukti pembelian dan geran asal kesemua kenderaan itu dengan siasatan kini menjurus kepada potensi kenderaan curi.

“Hasil siasatan mendapati kesemua komponen yang dileraikan akan dijual semula kepada kedai barangan lusuh yang dikenali geng kongsi gelap berkenaan.

“Semakan rekod ke atas mereka mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau termasuk mencuri, pecah rumah dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

“Ketiga-tiga suspek kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 6 Akta Barang Lusuh dan dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette