Home Nasional Polis serbu ‘port’ dadah, 7 individu ditahan

Polis serbu ‘port’ dadah, 7 individu ditahan

Sebahagian daripada tujuh individu yang ditahan polis dalam tiga serbuan di sebuah kondominium di Jalan Chain Ferry, Butterworth di sini semalam.

BUTTERWORTH – Tindakan tujuh individu termasuk dua wanita yang menjadikan sebuah kondominium di Jalan Chain Ferry sebagai sarang melepaskan gian dadah terbongkar selepas polis menyerbu lokasi itu semalam.

Tiga serbuan membabitkan dua unit kediaman dan tempat parkir kereta itu dibuat pada jam 9 pagi selepas polis menerima aduan daripada penduduk yang curiga dengan aktiviti kumpulan tersebut.

Mereka yang ditahan terdiri daripada dua pasangan kekasih dan rakan.

Noorzainy.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan pertama membabitkan tangkapan seorang wanita bersama tiga lelaki termasuk salah seorang daripadanya masih bawah umur.

Hasil pemeriksaan polis menemui dadah jenis syabu dan pil eramin 5 di dalam kediaman berkenaan.

“Hasil soal siasat dijalankan mendapati kediaman berkenaan disewa oleh wanita tersebut terbabit bersama tunangnya sejak tiga bulan lalu dengan bayaran RM1,800 sebulan.

“Manakala remaja lelaki bawah umur itu yang juga rakan mereka sudah tidak bersekolah lagi.

“Selain kesalahan memiliki dadah, ketiga-tiga individu terbabit juga didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul tanpa penjarakan sosial, selain mengadakan aktiviti dengan kehadiran ramai dan masing-masing dikompaun RM4,000,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Antara suspek yang ditahan dalam serbuan di kondominum berkenaan.

Menurut Noorzainy, berpandukan maklumat daripada serbuan pertama, polis menyerbu sebuah lagi unit kediaman di kondominium yang dijadikan inap desa.

Kata beliau, dalam serbuan itu seorang lelaki yang juga kekasih kepada wanita di lokasi serbuan pertama ditahan.

Polis turut menemui syabu seberat 6.6 gram dalam  kediaman tersebut.

Siasatan mendapati lelaki berusia 23 tahun itu menyewa inap desa berkenaan dengan bayaran RM100 sehari.

Lelaki itu juga didapati melakukan pergerakan melebihi radius 10 kilometer dari rumahnya bukan untuk mendapatkan keperluan memerlukan dan dia dikompaun RM5,000.

“Siasatan lanjut yang dilakukan turut membawa kepada tangkapan satu lagi pasangan kekasih di kawasan parkir kondominium berkenaan dan kita merampas dua peket syabu seberat 2.2 gram.

Sebahagian syabu yang dirampas polis dalam tiga serbuan di kondominum di Jalan Chain Ferry di sini semalam.

Mereka juga didapati melanggar SOP dengan menaiki kenderaan sama yang bukan isi rumah dan masing-masing dikompaun RM2,000.

Tambah Noorzainy, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek lelaki positif dadah.

“Kita percaya mereka menjadikan kondominium tersebut sebagai sarang menghisap dadah dan kesemua tangkapan direman untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” kata beliau. – MalaysiaGazette