Home Sukan Semua pemain wira negara – Safawi

Semua pemain wira negara – Safawi

Foto Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid tidak mahu dilabel sebagai wira Harimau Malaya selepas jaringan tunggalnya berjaya membantu pasukan menewaskan Thailand 1-0 di Stadium Al Maktoum, Dubai, awal pagi tadi.

Sebaliknya, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menganggap seluruh pasukan sebagai wira negara apabila berjaya meraih tiga mata berharga dalam aksi terakhir Kumpulan G bagi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Tahniah kepada pasukan kerana memberikan komitmen yang sangat terbaik. Bukan mudah menentang Thailand. Saya tabik dari pegawai pasukan, ketua jurulatih dan rakan sepasukan.

“Hari ini kami berikan segala-galanya untuk menang, sekurang-kurangnya tiga mata untuk dibawa pulang ke Malaysia. Bukan saya pemain terbaik perlawanan, bagi saya pemain terbaik adalah seluruh pasukan,” katanya selepas perlawanan.

Safawi masuk menggantikan Arif Aiman Hanapi pada babak kedua sebelum dia dikasari pertahanan lawan dan memaksa pengadil memberikan sepakan penalti kepada Harimau Malaya.

Peluang itu tidak disia-siakan Safawi untuk meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-52, walaupun sepakannya hampir diselamatkan penjaga gol Thailand, Chatchai Bootprom.

Juara kumpulan menjadi milik Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mengumpul 18 mata selepas menewaskan pasukan tangga kedua, Vietnam 3-2 dalam satu lagi perlawanan. – MalaysiaGazette