KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah mahu persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Seri Paduka menzahirkan perkara itu selepas berkenan menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin lewat petang ini.
Seri Paduka juga berpandangan perlu ada pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani pandemik dan memulihkan ekonomi negara.
Agong juga turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi satu-satunya jalan keluar bagi mengawal penularan pandemik.
“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai seawal mungkin.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: