KUALA LUMPUR – Raja-Raja Melayu berpendirian mekanisme semak dan imbang dalam kerajaan perlu dan menyokong Parlimen segera bersidang.
Ia selaras dengan apa yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pada peringkat negeri, raja-raja pemerintah juga berpendirian agar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) turut bersidang.
“Adalah menjadi kewajipan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah di negeri-negeri untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar atau pun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.
“Raja-Raja Melayu turut menegaskan, pentingnya prinsip Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini.
Menurut Syed Danial, pada perbincangan itu, Raja-Raja Melayu telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus terang dalam semangat saling menghormati agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan membantu Yang di-Pertuan Agong membuat ketetapan secara bijaksana.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: